KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, ucapannya pada Perhimpunan MIC diputar belit musuh parti itu bagi mengelirukan dan menghasut rakyat.
Beliau berkata, maksud sebenar di sebalik kenyataannya bahawa BN perlu ‘mewujudkan dan menegakkan kebenaran’ dengan mesti memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah mengenai pendakwaan politik terpilih dikenakan terhadap pemimpin parti itu, sekiranya tewas.
“Pada minit 2.35 dengan terang dan jelas saya menegaskan mengenai pendakwaan politik serta terpilih.
“Itulah maksud saya risiko pemimpin BN jika musuh menang PRU-15. Musuh BN akan menyalahgunakan kuasa membuat pendakwaan politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, rakyat perlu berhati-hati dengan politik ‘spin’ (putar belit) dan memperdaya dilakukan lawan BN.
Katanya, ia adalah kaedah digunakan pihak terbabit untuk memenangi PRU-14, iaitu dengan memutar belit, mengelirukan dan menghasut rakyat.
Malah, beliau berkata, sememangnya itulah hakikat sebenar menunjukkan sikap pada diri dan cara mereka sejak azali.
“Kekeliruan dengan mengelirukan yang akhirnya merantai dosa fitnah tidak pernah berkesudahan. Semoga kali ini Allah melindungi Malaysia daripada penipuan dan pemfitnah.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia bersama kita menolak politik fitnah,” katanya.
Pada Isnin lalu, Ahmad Zahid ketika berucap pada perhimpunan itu berkata, calon daripada MIC, UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ‘wajib menang’ dengan dominan pada PRU-15.
“Its now or never (sekarang atau tidak akan menang), pilihan raya kali ini ‘mother of all general election’ (ibu segala pilihan raya), kalau kita kecundang, nasib kita lebih buruk daripada PRU-14.
“Bukan saya sahaja kena charge (dakwa), Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) you are in the waiting list (anda berada dalam senarai menunggu), Tan Sri Vicky (Vigneswaran) jangan ketawa anda pun termasuk dalam senarai, satu lagi Datuk Seri Saravanan, Ka Siong (Datuk Seri Wee Ka Siong) mereka tidak akan lupakan anda, anda juga akan didakwa, Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) anda jangan senyum, (jadi) bagi mengelakkan ini kita wajib menang dengan dominan di dalam PRU-15,” katanya.
Menyifatkan berada di dalam ‘kandang’ orang kena tuduh sebagai memalukan dan penghinaan sehingga disifatkan ‘tinggal seluar dalam’, Ahmad Zahid berkata BN mesti terus melawan untuk mewujud serta menegakkan kebenaran.
“Kita bukan mahu mencabar sistem kehakiman, tapi kita mencabar pertuduhan politik, kita mencabar ‘selective prosecution’ (pendakwaan terpilih) kerana mereka melakukannya kepada pemimpin BN, saya dimangsakan, bossku (Datuk Seri Najib Razak) dimangsakan,” katanya.
Terdahulu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, BN mahu mengadakan PRU-15, hanya untuk menyelamatkan pemimpinnya daripada didakwa atas tuduhan jenayah.
Menerusi video ringkas disiarkan di akaun media sosialnya, Dr Mahathir berkata, ia terbukti menerusi ucapan Ahmad Zahid bahawa beliau mengumpulkan penyokong BN untuk memastikan gabungan itu menang besar pada PRU-15, bagi menghalang pendakwaan terpilih.
Dr Mahathir mendakwa, pemimpin BN kurang berminat untuk memperjuangkan negara, bangsa dan agama.
“Sekarang rakyat faham hasrat sebenar UMNO mendesak pilihan raya seperti diperkatakan Ahmad Zahid sebelum ini. Mereka mahu menyelamatkan diri daripada didakwa di mahkamah atas jenayah mereka.
“Bukan sahaja Ahmad Zahid, pemimpin lain disebut beliau juga bersekongkol serta mereka semua mempunyai masalah dan dipercayai (didakwa) terlibat dalam perbuatan jenayah, mereka ingin menang besar, bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
“Ini adalah niat sebenar mereka mengapa mereka bertanding pada pilihan raya akan datang. Mereka bukan berjuang untuk negara, bangsa atau agama, sebaliknya demi diri mereka sendiri,” katanya. – Getaran, 13 Oktober 2022

