KUALA LUMPUR - Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi memutuskan beberapa perkara, termasuk meminta Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian parti itu, menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata hasil mesyuarat itu juga mengarahkan persiapan semua jentera parti terbabit bagi PRU-15 di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, perundingan pembahagian kerusi antara parti komponen dan Friends of BN akan dimuktamadkan.
“Dewan Tertinggi bersetuju dengan usaha mengetengahkan calon baharu yang mempunyai nilai WALI, iaitu ‘winnable’ (mampu menang), ‘acceptable’ (diterima) dan ‘likeable’ (digemari) serta berazam mencapai 30 peratus calon wanita.
“Dewan Tertinggi menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen, selaras dengan kuasa baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.
Mesyuarat itu dihadiri pengerusi, timbalan pengerusi, presiden beberapa parti komponen dan Ahli Jawatankuasa Dewan Tertinggi.
Zambry berkata, menerusi menyuarat itu, Dewan Tertinggi bersetuju tema utama manifesto bagi PRU-15 adalah ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.
Katanya, BN komited memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara.
“(Usaha ini) Dengan penawaran polisi bersifat pro-rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi mapan dan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, media melaporkan, pemimpin yang ditemui selepas mesyuarat itu mengesahkan perbincangan tidak membabitkan nama calon Perdana Menteri pilihan BN.
Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perbincangan tertumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya dan manifesto parti.
Jelasnya, manifesto itu tertumpu kepada kebajikan dan pembelaan rakyat, manakala calon baharu sentiasa diberikan penekanan berdasarkan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN). – Getaran, 12 Oktober 2022

