KUALA LUMPUR - Di saat usianya sudah menjangkau 97 tahun, keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), nyata mengundang persoalan.
Meskipun keputusan itu tidak begitu mengejutkan kerana sememangnya mantan Perdana Menteri berkenaan aktif berpolitik, pertanyaan yang timbul adakah beliau masih mampu menawarkan khidmat sebagai wakil rakyat dan bolehkah partinya memenangi mana-mana kawasan ditandingi, memandangkan ‘saiznya begitu kecil’.
Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Rusdi Omar berpendapat, sebagai pelopor Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Dr Mahathir perlu bertanding pada PRU-15 bagi meneruskan kelangsungan parti itu.

“Kalau beliau tak bertanding, saya tak nampaklah GTA dan PEJUANG itu akan bergerak lebih jauh lagi, so no choice (jadi tiada pilihan), beliau perlu bertanding.
“Tapi kalau kita tengok kepada umur beliau, tak seharusnya bertanding lah, patutnya beri peluang kepada muka baharu atau pemimpin baharu atau mungkin anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir boleh menerajui.
“Masalahnya mungkin beliau melihat bahawa kalau beliau tak bertanding, parti itu akan tinggal nama sahaja, nak tak nak dia terpaksalah,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Namun, Rusdi berkata, walaupun secara fizikal Dr Mahathir sudah tua, kehadiran negawarawan itu tidak boleh dipandang ‘sebelah mata’ kerana beliau memiliki pemikiran, pengalaman dan karisma jauh lebih baik daripada pemimpin politik sedia ada.
Ditanya adakah kehadiran Dr Mahathir sebagai calon pilihan raya itu akan mencetuskan simpati pengundi kerana faktor usia, seterusnya mengundi beliau di kawasan ditandingi, Rusdi menolak kenyataan berkenaan dengan menyifatkan mereka mungkin menjadikan pengalaman dan kemampuannya mentadbir negara sebagai kayu pengukur.
Katanya, biarpun mungkin Pengerusi PEJUANG itu tidak boleh menjadi Perdana Menteri seterusnya kerana parti diwakili tidak boleh menjamin kemenangan besar, beliau masih sesuai dilantik sebagai penasihat negara memandangkan ‘buah fikiran’ berharga.
“Disebabkan itu saya kata kehadiran dan kemampuan beliau untuk memberi saingan pada PRU-15 tidak boleh dipertikai serta dipandang rendah,” katanya.

Manakala, bagi Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, keputusan Dr Mahathir tidak menghairankan kerana tiada istilah bersara dalam arena politik dan sesiapa sahaja masih boleh bertanding.
Ditambah kemampuan dari segi fizikal dan pemikiran tajam Dr Mahathir serta kesihatannya masih baik, tidak ada sebab mengapa beliau harus dihalang daripada bertanding.
Beliau berkata, bagaimanapun sejujurnya Dr Mahathir dilihat tidak sepopular seperti PRU-14 kerana tidak lagi bersama atau mengetuai gabungan yang kuat.
“Berbanding Pakatan Harapan (PH) disertai Tun dulu, iaitu sebuah parti kuat, sekarang ini beliau ketuai GTA yang terdiri daripada gabungan beberapa parti kecil.
“Saya nampak peluang GTA untuk seluruh Malaysia memang susah, tapi di Langkawi ini setahu saya ia adalah kubu kuat kepada Tun, saya rasa mungkin boleh menang kerana pengaruh dimiliki.
“Namun untuk beliau mengulangi kemenangan selesa di Langkawi seperti PRU-14, sukar,” katanya.
Malah, Mazlan meletakkan potensi Dr Mahathir untuk memenangi kerusi Parlimen itu ‘50-50’ disebabkan populariti beliau tidak sebaik dulu.
“Dulu ketika bersama PH, mungkin Tun dapat solid sokongan daripada orang bukan Melayu dan orang Melayu, sekarang orang bukan Melayu mungkin tak sokong dia lah serta mungkin beri sokongan pada PH.
“Manakala undi orang Melayu pun ada banyak pilihan, seperti ada akan sokong UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau Perikatan Nasional (PN),” ujarnya.
.jpg)
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, berbeza dengan sekarang, ketika PRU-14, Dr Mahathir dianggap sebagai ‘penyelamat’, namun kini tokoh itu kurang mendapat penghormatan susulan tindakannya meletak jawatan Perdana Menteri, sehingga menyebabkan krisis politik.
“Mungkin orang kata kenapa dulu Tun letak jawatan dan kerana tindakan beliau inilah politik negara berdepan krisis, tidak stabil.
“Saya agak beliau masih ada peluang tapi mungkin tak sekuat dulu,” katanya.
Terdahulu, Getaran melaporkan, Dr Mahathir mengesahkan akan bertanding pada PRU-15 bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat GTA di Putrajaya, beliau mengesahkan akan bertanding sebagai calon untuk kerusi berkenaan, bukan sebagai Perdana Menteri.
Pada PRU-14, Dr Mahathir ‘menang besar’ bagi kerusi Parlimen Langkawi apabila memperoleh 18,954 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nawawi Ahmad dan calon PAS, Zubir Ahmad dengan majoriti 8,863 undi, sekali gus mencipta sejarah dalam politik negara.
Keputusan beliau untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen itu, bukan sahaja menjadi topik hangat di media massa, malah ia menerima respon kurang baik warga maya yang menyifatkan sudah tiba masa Dr Mahathir bersara dari arena politik negara.
Manakala di Facebook, pengguna menasihatkan beliau agar tidak bertanding pada PRU-15, sebaliknya memberi peluang kepada individu muda untuk diletakkan sebagai calon. – Getaran, 12 Oktober 2022. - Bernama

