PETALING JAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU-15) dan mungkin bertanding di kawasan disandang ‘pengkhianat’.
Tanpa menamakan kawasan itu, Ketua Pembangkang berkata, langkah beliau memilih ‘kerusi pengkhianat’ adalah sebagai memberi mesej kepada mereka yang mengkhianati parti dan Pakatan Harapan (PH).
“Kita (PH) boleh masuk kubu kuat UMNO, tetapi saya harus memilih kerusi disandang pengkhianat. Mesejnya adalah pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima).
“Ada kemungkinan besar (saya akan bertanding) di kerusi pengkhianat,” katanya pada sesi soal jawab Program Sembang Kencang KLS @ Anwar Ibrahim anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS) di sini, malam tadi.
Pada PRU-14, mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memenangi kerusi Parlimen Gombak, selepas bertanding di bawah tiket parti itu, tetapi kemudian berpaling tadah apabila menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada tahun 2020.
Tindakan Azmin yang sejak itu dilabel sebagai pengkhianat parti, disertai 10 Ahli Parlimen PKR dan sekumpulan ahli akar umbi parti berkenaan.
Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin adalah antara Ahli Parlimen yang mengikutinya.
Pada Jumaat lalu, Anwar berkata, PKR bercadang meletakkan pemimpin utama ketika PRU-15 untuk merampas semula kerusi Parlimen dimenangi ahli parti itu yang kemudian melompat ke parti politik lain.
Beliau berkata, tindakan itu akan menghantar mesej jelas kepada Ahli Parlimen yang dikaitkan dengan Langkah Sheraton yang memenangi kerusi di bawah tiket PKR pada PRU-14.
Antara kerusi disebut ialah yang disandang Mohamed Azmin; Zuraida; Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah serta Ahli Parlimen Segamat yang turut memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Edmund Santhara Kumar Ramanaidu.
Awal bulan ini, Anwar berkata, walaupun pengundinya di kerusi Negeri Sembilan meminta beliau kekal di Port Dickson, penyokongnya yang lain mahu beliau mewakili mereka di kawasan mereka.
Katanya, kerusi berpotensi termasuk kawasan Parlimen Tambun di Perak. – The Vibes, 29 September 2022

