KUALA LUMPUR - Momentum kempen dan ceramah digerakkan Pakatan Harapan (PH) ketika ini semakin mendapat sambutan rakyat, sekali gus mampu menjadi antara penyumbang kepada peningkatan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, ia ditambah isu semasa, seperti skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan pemenjaraan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Justeru, beliau berpandangan, desakan UMNO agar PRU-15 diadakan segera sebagai strategi mengurangkan peratusan keluar mengundi, boleh ‘memakan diri’ susulan wujudnya momentum berkenaan.
“Desakan pihak UMNO agar PRU-15 diadakan segera, iaitu sebelum musim banjir, merupakan satu tindakan politik yang memberi kelebihan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) kerana dikatakan dapat mengurangkan individu keluar atau pulang mengundi.
“UMNO mahu menang majoriti dua pertiga dengan peratusan keluar mengundi rendah dan ia terbukti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Namun, perkara ini bukan tetap kerana selepas skandal LCS dan Najib dijatuhkan hukuman, ia mampu menjadi faktor pengundi akan keluar mengundi.
“UMNO bimbang sekiranya masa yang ada ini berjaya membuatkan pembangkang bersatu-padu semula sebelum PRU-15. Ini akan menjejaskan peluang mereka mentadbir Putrajaya sekali lagi,” katanya kepada Getaran.
Menurut Fakhrurrazi, momentum PH dengan kempen dan ceramah yang kian mendapat sambutan, mencetuskan kegusaran kepada UMNO, terutama sekiranya blok pembangkang mampu membuatkan rakyat keluar melaksanakan tanggungjawab itu.
“Boleh dikatakan usaha pembangkang mendekati rakyat dan ketengahkan isu semasa dapat mempertingkat semangat rakyat untuk keluar mengundi,” katanya.
Beliau memberitahu, langkah mengadakan PRU-15 pada tahun depan sebaliknya akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi, memandangkan ketika ini, semua pihak seharusnya memberi fokus kepada usaha menghadapi banjir yang dijangka memberi impak besar kepada kehidupan rakyat.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, PRU-15 masih boleh dilaksanakan pada tahun ini sekiranya dilakukan sebelum musim banjir.
Beliau berkata, berdasarkan perkongsian Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), ramalan banjir besar berlaku pada penghujung November ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, situasi semasa dilihat tidak menyebelahi BN kerana wujudnya banyak isu semasa, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau menegaskan, pilihan raya umum diadakan untuk meraih kemenangan, bukan kekalahan, tetapi dalam situasi ketika ini, banyak isu tidak menyebelahi BN dan mengurangkan potensi parti berkenaan untuk mengungguli PRU-15.
Mazlan juga menarik perhatian, sekiranya Parlimen dibubarkan esok, ia akan tetap memakan masa sehingga sebulan untuk pilihan raya diadakan memandangkan terdapat proses tertentu perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kalau Parlimen dibubar akhir September, pastinya November juga pilihan raya. Jadi apa maksudnya mengadakan pilihan raya sebelum musim banjir?
“Sekarang pun sudah banjir, jadi ia akan memberi kesan kepada rakyat. Justeru langkah mengadakan PRU-15 sebelum banjir ini akan dipersoal rakyat. Sebaliknya, kelangsungan hidup rakyat pasca pandemik perlu dipastikan terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, pendapat berbeza diketengahkan Pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Datuk Dr Ismail Sualman yang melihat kepentingan PRU-15 diadakan segera demi sebuah kerajaan stabil.
Beliau menambah, UMNO berfikiran bahawa kerajaan campuran hari ini sebagai tidak stabil meskipun terdiri daripada pelbagai parti.
“Ia dikatakan sebuah kerajaan tidak stabil menyebabkan ‘kelesuan politik’ kerana tiada konsensus dan anggota Kabinet dilihat seolah-olah tidak lagi serasi.
“Pada saya, lebih elok adakan PRU-15 untuk sebuah kerajaan stabil dan yang penting, tidak wujud ketidakserasian,” katanya. - Getaran, 24 September 2022