web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


PAS Mainkan Sentimen Perkauman, Terdesak Menangi Hati Rakyat Menjelang PRU

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 19 Sep 2022 9:07PM

Gambar AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tindakan PAS yang berterusan memainkan sentimen perkauman disifatkan sebagai cubaan terdesak parti itu untuk menakutkan rakyat berhubung konsep Malaysian Malaysia, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menegaskan, PAS sepatutnya menggunakan kesempatan berada dalam kerajaan untuk memartabatkan ekonomi kaum Melayu.

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

Menurut beliau, PAS lantang mengkritik pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tetapi ironinya, pelbagai isu timbul ketika mereka berada dalam kerajaan termasuk melibatkan akidah, ekonomi dan integriti.

“PAS sebagaimana diketahui umum merupakan sebuah parti yang selalu mengubah pendirian jika melihat sesuatu itu tidak memberikan sebarang keuntungan politik bagi mereka, malah mengeluarkan pelbagai dalil dan nas untuk menghalalkan semua perubahan itu.

“Semasa bersama Pakatan Rakyat, (Malaysian Malaysia) boleh, tetapi apabila (sudah) bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), (Malaysian Malaysia) tidak boleh pula. Itulah politik PAS,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.

Katanya, parti itu sering mengkritik kesan dibawa pentadbiran PH terhadap kaum Melayu selama 22 bulan memerintah, tetapi mereka seolah tidak menyedari bahawa terdapat pertambahan dalam cabutan khas judi dan pertandingan bina badan wanita.

“Kelantan tiada panggung wayang tetapi di Kedah ada pula. Semuanya bercelaru. Indeks Persepsi Rasuah, pelaburan langsung asing (FDI) dan eksport buatan barangan negara (turut) menurun.

“Bagi mereka sekarang, mengekal jawatan itu (lebih) penting daripada semua dasar yang dilaungkan dahulu,” katanya, sinis.

Baru-baru ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa partinya menentang teori ‘Malaysian Malaysia’, kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

Dalam catatan Facebook yang panjang lebar, Abdul Hadi berkata, fanatik kaum juga mesti ditolak, sekali gus mengulangi pendirian PAS untuk tidak bekerjasama dengan PH pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Tengku Zulpuri Shah menegaskan, konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atau bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Jelasnya, konsep berkenaan juga tidak menyentuh soal kedudukan Raja-Raja Melayu atau keistimewaan kaum berkenaan di negara ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan, Malaysian Malaysia bersesuaian dengan penduduk negara yang berbilang kaum.

“Apa yang diperjuangkan (konsep Malaysian Malaysia) adalah dasar kerajaan pemerintah yang tidak memihak kepada semua kaum.

“Sebagai contoh, semua hal ehwal Orang Asli di Semenanjung perlu melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tetapi mengapa ini tidak berlaku kepada kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak?

“Anak kaum selain Melayu dilihat sukar mendapat biasiswa, memasuki pengajian tinggi atau bekerja dalam sektor kerajaan.

“Ini bukannya melanggar Perlembagaan dan tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam. Rakyat bukan Islam yang tidak mengkhianati negara sepatutnya berhak mendapat semua peluang ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda DAP, Young Syefura Othman berkata, PAS yang kini menentang prinsip Malaysian Malaysia perlu merenung kembali sejarah mereka sewaktu berada di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Young Syefura Othman
Young Syefura Othman

“Pada April 2013, Abdul Hadi bersama-sama Setiausaha Agung DAP pada masa itu, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa Manifesto Pakatan Rakyat adalah berteraskan dasar bersama dipersetujui ketiga-tiga parti pada masa itu, yang tidak menindas atau menolak hak mana-mana bangsa, agama ataupun jantina.

“Kenyataan ini secara tidak langsung merujuk kepada prinsip Malaysian Malaysia,” katanya

Beliau yang lebih mesra dipanggil Rara menyimpulkan, penentangan PAS terhadap Malaysian Malaysia sebenarnya bersifat populis, semata-mata untuk memenangi undi.

PAS tegasnya, tidak pernah jujur dalam apa juga diperjuangkan, sekali gus membuktikan perilaku munafik yang amat ketara.

“Seperti biasa menjelang pilihan raya umum (PRU) kita mesti akan dengar isu perkauman dan agama dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, kerana ini adalah senjata yang paling ampuh untuk memenangi undi terutamanya daripada Melayu di luar bandar.

“Apa yang dilakukan oleh PAS ini samalah seperti yang dilakukan oleh UMNO. Ini sahaja yang boleh dilakukan oleh mereka untuk kekal dan nampak relevan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari itu berkata, PAS semakin galak bermain dengan sentimen kaum dan agama sejak kebelakangan ini kerana ingin menutup kelemahan setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Rakyat sudah tahu pemimpin PAS tak boleh jadi menteri, PAS tak boleh jadi kerajaan. Jadi untuk dapatkan sokongan mereka pun mainlah sentimen kaum dan agama,” katanya.

Menyentuh mengenai topik Malaysian Malaysia, beliau memberitahu, konsep tersebut adalah prinsip asas DAP yang menolak sebarang bentuk diskriminasi.

“Ia bermakna DAP menolak dasar dan amalan yang hanya mengutamakan sesuatu kaum, agama atau jantina, sejajar dengan prinsip dan slogan ‘Demokratik, Adil, Peduli’.

“Pada masa sama, ia tidak bermakna DAP menolak hak sah mana-mana kaum atau agama yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bahkan parti ini amat menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan meraikan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia,” tegasnya.

Malaysian Malaysia jelas beliau lagi, telah disensasikan luar daripada konsep sebenar oleh pihak lawan yang mendakwa, ia bakal menghapuskan hak istimewa Melayu dan Islam sebagai agama rasmi.

“Apa yang DAP mahukan ialah peluang yang setara seperti dalam aspek pembelajaran, pekerjaan dan status kerakyatan anak kepada wanita Malaysia yang lahir di luar negara.

“Apa yang terjadi kepada wanita serta anak-anak mereka adalah satu diskriminasi dan inilah yang ditentang oleh DAP.

“Sepatutnya anak-anak ini diberikan hak sama seperti mana anak-anak kepada lelaki warganegara Malaysia.

“Diskriminasi seperti inilah yang ditentang oleh DAP,” katanya. - Getaran, 19 September 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 27 minit yang lalu

Wajah Baharu UMNO Negeri Sembilan, Apakah Masih Dibayangi Pemimpin Dilingkari Kontroversi?

2

Politik 6 jam yang lalu

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

3

Politik 8 jam yang lalu

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

4

Politik 2 hari yang lalu

‘PRN Johor Bukan Keutamaan Saya, Pemulihan Ekonomi Masih Fokus Kerajaan Persekutuan’ – Anwar

Sorotan

1

Pemandu 4WD Positif Dadah Ditahan, Dikesan Pandu Secara Mengundur Di Lebuh Raya

2

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

3

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

4

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

5

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

6

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 7 jam yang lalu

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka  Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Lakukan Serangan Seksual Terhadap 6 Pelajar, Guru Muzik Mengaku Tak Bersalah

oleh Sophia Ahmad

Semasa 11 minit yang lalu

Tengkorak Manusia Ditemui Dalam Jaring Nelayan Di Perairan Johor

oleh Sophia Ahmad

Politik 27 minit yang lalu

Wajah Baharu UMNO Negeri Sembilan, Apakah Masih Dibayangi Pemimpin Dilingkari Kontroversi?

oleh Sophia Ahmad