GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), berharap semua perbincangan mengenai pengagihan kerusi dan strategi, dilakukan secara tertutup, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Kutipan Dana MUDA Pulau Pinang di Sai Boey Urban Park di sini, semalam.
Parti baharu itu mengumpul sehingga RM50,000 untuk acara terbabit yang julung kali diadakan di negeri berkenaan.
“Saya rasa PH dan MUDA perlu fokus dan bersatu. Kami tahu siapa musuh kami, dan kami mesti fokus untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Ahli Parlimen Muar itu menjawab kenyataan beberapa pihak dalam PKR yang ragu untuk memperuntukkan kerusi kepada MUDA.
Tambahnya, MUDA berani untuk bertanding di kerusi sukar, walaupun segelintir pihak mengandaikan sebaliknya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, MUDA bertanding di beberapa kerusi sukar dan parti itu tidak kehilangan deposit.
Terdahulu, Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Jazz Yan berkata, parti itu ada di kesemua 13 kawasan Parlimen di negeri berkenaan.
Selain itu, Syed Saddiq ketika berucap di hadapan hadirin berkata, pekerja di negara ini mengalami situasi yang menekan kerana kadar gaji belum bertambah baik sejak 20 tahun lalu, walaupun kos sara hidup meningkat.
“Seorang arkitek memperoleh apa yang diperoleh arkitek lain 20 tahun lalu. Ini membimbangkan,” katanya.
Ramai anak muda seperti beliau, katanya, kini terpaksa melakukan dua hingga tiga pekerjaan jika mereka mahu hidup lebih selesa.
Ekoran situasi itu, katanya, MUDA mahu melahirkan sistem ekonomi adil kepada setiap kaum dan boleh memberi peluang sama rata kepada semua.
Beliau menambah, perhatian juga mesti diberikan kepada perubahan iklim, sambil menegaskan sekiranya MUDA meraih kejayaan pada PRU-15, parti itu mahu Parlimen mengisytiharkan ‘darurat iklim’, susulan peningkatan kekerapan banjir dan bencana alam. - The Vibes, 18 September 2022
