KUALA LUMPUR - Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang sepatutnya diadakan malam esok, dijadualkan semula pada 30 September ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, penangguhan mesyuarat itu adalah susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terlibat dengan Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.
“Tarikh baharu mesyuarat ialah pada Jumaat 30 September jam 8 malam, yang merupakan mesyuarat penuh MKT UMNO,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad tidak memperincikan berhubung agenda mesyuarat terbabit.
Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilaporkan berkata, pertemuan lima kepimpinan tertinggi parti menerusi mesyuarat bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam masa terdekat.
Ismail Sabri memberitahu, mesyuarat itu mungkin diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan. - Getaran, 16 September 2022

