web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Muktamar PAS Ke-63: Parti Mana Bakal Jadi ‘Pasangan’ Pada PRU-15?

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 Sep 2022 7:00PM

Antara perwakilan yang hadir pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, hari ini. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

ALOR STAR – Muktamar atau perhimpunan tahunan PAS ke-63 di Kedah bermula hari ini dan berlangsung sepanjang minggu. Sempena muktamar berkenaan, parti Islam itu perlu memutuskan pihak mana ingin dipilih mereka sebagai ‘rakan gabungan’ untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Di satu sudut, PAS secara rasmi menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Namun dari satu segi, ia ‘menyantuni’ UMNO terlebih dahulu selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang melakar sejarah tersendiri, apabila menyaksikan PAS dan parti itu membentuk pakatan dipanggil Muafakat Nasional (MN).

Beberapa sumber dalaman PAS mencadangkan ia mengadakan ‘strategi hibrid’, iaitu bekerjasama dengan UMNO di beberapa negeri, manakala tetap menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di kerusi ‘kuat’ Pakatan Harapan (PH).

“Tetapi ini juga boleh mengelirukan pengundi, khususnya di kawasan luar bandar yang kekal sebagai kubu kuat PAS. Parti itu mungkin mempunyai terlalu banyak sekutu sehingga (ia mengelirukan) pengundi kerana mereka tidak tahu siapa musuh,” kata beberapa sumber dalaman parti kepada The Vibes.

Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kepimpinan PAS mesti menilai sentimen dalam kalangan akar umbinya, sebelum memutuskan hala tuju parti itu.

“Persaingan beberapa penjuru berkemungkinan berlaku, jadi PAS mungkin perlu menjalin hubungan dan berunding dengan UMNO,” katanya.

Beliau berpandangan, bekerjasama dengan UMNO di bawah MN adalah satu daripada pilihan terbaik atau sekurang-kurangnya, usaha itu sepatutnya dilaksanakan di peringkat negeri atau di kerusi tertentu, jika PAS mahu kekal berkuasa.

“PAS juga harus melihat semula prestasinya di Melaka dan Johor sebagai persediaan ke arah pilihan raya,” jelasnya.

Katanya merujuk kepada kekalahan PAS di kedua-dua negeri berkenaan yang ditandingi parti itu di bawah tiket PN.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, PAS gagal memenangi mana-mana daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya memenangi satu daripada 15 kerusi ditandinginya di PRN Johor.

Menjelang PRU-15 yang dijangka diadakan pada tahun ini, PAS mendesak UMNO untuk ‘memulihkan’ semula MN dan membincangkan bagaimana kedua-dua parti boleh bertanding di 27 kerusi Parlimen.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, beliau bimbang beberapa kerusi yang tidak dinamakannya jatuh ke tangan PH, justeru UMNO dan PAS perlu bekerjasama untuk memberi saingan di situ.

Penganalisis, Wong Chin Huat berkata, PAS tidak mengharapkan sokongan daripada bukan Islam.

Malah, katanya, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sering mengeluarkan kenyataan ‘menyerang’ orang bukan Islam.

“Sejauh mana strategi ini akan berkesan sukar untuk diketahui. Naratif perjuang untuk Melayu kurang meyakinkan susulan dua kerajaan majoriti Melayu ditubuhkan selepas Langkah Sheraton, namun perbalahan antara tiga parti Melayu ini masih berlaku.

“Kekecewaan terhadap parti menyebabkan kadar tidak keluar mengundi yang tinggi di Johor, iaitu 45 peratus.

“Kadar keluar mengundi yang tinggi mungkin menimbulkan risiko lebih besar kepada PAS, terutama di Kelantan yang diperintah parti ini sejak 1990 dan dengan sikap semakin ‘tidak kisah’, seperti di Kedah yang menyaksikan gaya ‘kasar’ Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammed Sanusi Md Nor, boleh menyebabkan pengundi atas pagar tidak memilih parti itu,” katanya.

Wong berkata, isunya sekarang adalah sama ada PAS boleh terus mendominasi di tiga negeri, Kedah, Kelantan dan Terengganu, terutama jika UMNO mendapat strategi baharu serta sekiranya kedua-dua parti tidak bekerjasama.

Satu lagi persoalan mungkin perlu ditangani muktamar berkenaan adalah berkaitan kesihatan Abdul Hadi yang sudah lama berkhidmat.

Pemimpin berasal dari Terengganu berusia 74 tahun itu menghidap masalah jantung dan dipercayai akan memegang jawatan untuk penggal terakhirnya.

Namun, beliau masih mencetuskan kontroversi seperti dilakukannya pada tahun 1990-an menerusi ‘Amanat Hadi’ yang mengisytiharkan UMNO sebagai ‘kafir’ atau parti kafir. Beliau kini berdepan laporan polis dibuat terhadapnya kerana  mendakwa bahawa bukan Islam adalah punca utama rasuah di Malaysia, menerusi kenyataan baru-baru ini.

Walaupun mencetuskan kontroversi dalam kalangan bukan Islam, legasi beliau dalam PAS masih utuh.

Di bawah kepimpinan Abdul Hadi, PAS menawan dua negeri tambahan pada pilihan raya umum sebelum ini dan Perlis dilihat mungkin mampu ditakluk parti itu, memandangkan Mursyidul Am PAS ketika ini, Datuk Seri Hashim Jasin berasal dari sana, manakala UMNO berpecah di negeri terkecil di Malaysia itu.

PAS juga perlu memikirkan peranan boleh dimainkan anak Abdul Hadi, Muhammed Khalil Abdul Hadi dan anak mantan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Abduh dalam parti, selepas kedua-dua individu itu melepaskan jawatan mereka dalam sayap Pemuda.

Sayap Pemuda, Muslimat (Wanita) dan Ulama PAS mengadakan perhimpunan tahunan mereka hari ini, manakala perhimpunan utama PAS esok serta Ahad di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen di Alor Star. – The Vibes, 2 September 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 1 bulan yang lalu

Dipecat Daripada BERSATU, 2 ADUN Kedah Masih Kekal Dalam Jawatan - Sanusi

2

Semasa 1 bulan yang lalu

BERSATU Terima 4 Keping Cek, Setiap 1 Bernilai RM200,000 - Saksi

3

Politik 1 tahun yang lalu

‘Kerajaan Sentiasa Terbuka Untuk Bincang Pinda Akta Lompat Parti’ - PM

4

Politik 1 tahun yang lalu

6 Bekas Ahli Parlimen BERSATU Jadi Wakil Rakyat Bebas

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Padah Pasport Diconteng Anak, Wanita Terpaksa Tunda Penerbangan 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Tersalah Tekan Pedal Minyak, Wanita 61 Tahun Pandu Posche Rempuh Lobi Hotel

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

Luar Negara 1 hari yang lalu

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

oleh Wartawan Getaran