web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


'Parut Luka' Langkah Sheraton Masih Berbekas Punca PH Tolak PN - Penganalisis

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Sep 2022 7:00AM

PH sebelum ini menyatakan keputusannya untuk tidak menjalin kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU-15 adalah muktamad. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pengalaman pahit dikhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerusi Langkah Sheraton pada 2020 sehingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ‘tersungkur’, menjadi jawapan jelas mengapa gabungan itu menolak sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Profesor Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berkata, tiada sebab bagi PH untuk kembali bersama BERSATU kerana parti pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menjadi punca status kerajaan PH hilang, malah tindakan menjalin kerjasama boleh membawa risiko untuk ia dikhianati sekali lagi.

“Punca PH menolak kerjasama bersama PN adalah jelas, iaitu BERSATU menjadi sebab kejatuhan kerajaan PH.

“Jadi, kenapa mahu bersama BERSATU kembali? Untuk dikhianati sekali lagi? Itu jawapan mudahnya,” katanya ketika dihubungi Getaran.

James berpendapat, tindakan PN ingin menjalin kerjasama dengan PH adalah satu strategi kerana BERSATU menyedari bahawa ia adalah parti lemah.

Dr James Chin
Dr James Chin

Katanya, hanya PAS satu-satunya parti dalam PN yang memiliki jentera pilihan raya sebenar.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, BERSATU menunjukkan bahawa ia adalah parti sangat lemah serta sokongan orang Melayu terhadapnya semakin berkurangan.

“Justeru, ternyata mereka (PN) mahu mencari lebih banyak rakan gabungan,” tambahnya.

Menurut James, sekiranya PN menghadapi PRU-15, BERSATU akan menghadapi pola sama seperti PRN Melaka dan Johor yang bermakna, parti Melayu itu akan kalah ‘besar-besaran’ (wiped out).

“Manakala PN secara asasnya menjadi sebuah gabungan dipimpin PAS. PAS akan tetap kuat selepas PRU-15 kerana ia satu-satunya parti yang mempunyai jentera sebenar,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dilaporkan meminta semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang untuk membuka semula pintu rundingan dengan parti itu, sekiranya masing-masing sepakat bahawa musuh utama pada PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN).

Rundingan itu, katanya, sebagai mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menempelak kenyataan Muhyiddin dan menegaskan keputusan PH untuk tidak menjalin kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU-15 adalah muktamad.

Rafizi berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat PH.

Dr Mazlan Ali
Dr Mazlan Ali

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali memberi pendapat senada apabila menegaskan, tindakan PH menolak kerjasama terbabit berkemungkinan atas faktor tidak percaya bahawa PN akan kekal bersama mereka selepas pilihan raya.

“Mungkin dirasakan (PN) akan buat perkara sama seperti dalam Langkah Sheraton dahulu.

“Jadi soal antara PH dan PN ini adalah PH tidak percaya kepada PN, khususnya BERSATU yang pernah ‘menikam belakang’ menurut anggapan PH,” katanya.

Mazlan berkata, keyakinan PN untuk menjalin kerjasama itu apabila melihat walaupun BN nampaknya bersungguh-sungguh ketika ini untuk menghadapi PRU-15, pelbagai isu integriti muncul selepas dibongkar PH.

Namun, jelasnya, kepimpinan PN tetap beranggapan bahawa jika berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU-15, BN mempunyai kelebihan.

Malah, katanya, pada tanggapan PN, kedua-dua gabungan, iaitu PN dan PH mempunyai matlamat sama, iaitu menjatuhkan BN.

“Jadi sekiranya mereka bekerjasama, lebih mudah lagi urusan atau matlamat untuk menjatuhkan BN kerana undi tidak berpecah.

“Kalau tiga penjuru, undi berpecah dan akan menguntungkan BN seperti yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor,” katanya.

Menurut Mazlan, undi UMNO tidak bertambah, namun mereka menang kerana perpecahan undi antara PN dan PH, selain jumlah keluar mengundi adalah rendah.

“Ini dilihat memberi keuntungan kepada BN yang mempunyai deposit tetap yang tinggi,” katanya. - Getaran, 1 September 2022

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

Disyorkan untuk anda

Politik 6 jam yang lalu

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

oleh Sophia Ahmad

Politik 4 jam yang lalu

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

Luar Negara 5 jam yang lalu

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka  Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Kerajaan Tolak Desakan Beremosi, Tangani Isu Pelarian Dengan Berhemah - Saifuddin

oleh Sophia Ahmad