web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Kedudukan Ismail Sabri Sebagai PM Kekal Utuh Walau Dipecat Dari UMNO

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Aug 2022 2:13PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka terus kekal sebagai Perdana Menteri sekiranya dipecat daripada UMNO kerana didakwa ‘mengabaikan’ gesaan supaya beliau membubarkan Parlimen, selain tidak memenuhi permintaan untuk campur tangan dalam kes rasuah membabitkan pemimpin utama parti itu.

Pemerhati Parlimen, Ong Ooi Heng berpendapat, walaupun UMNO menyingkirkan Ismail Sabri, beliau masih boleh bergantung kepada sokongan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menghadapi puluhan pertuduhan rasuah, mungkin hanya dapat menyakinkan kira-kira 15 Ahli Parlimen parti tersebut untuk menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri.

Susulan situasi itu, Ooi Heng percaya bahawa Ismail Sabri tidak perlu mengadakan undi percaya di Parlimen, sekiranya beliau dipecat daripada UMNO.

“Pentadbiran (Ismail Sabri) ini amat berbeza berbanding ketika pentadbiran (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) kerana Ismail Sabri sudah menandatangani MoU (memorandum persefahaman) dengan PH.

“Ia akan menjadi masalah besar sekiranya pihak seperti PH yang menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri,” katanya ketika dihubungi The Vibes.

Justeru, katanya, Ismail Sabri masih mampu mengekalkan sokongan lebih 112 Ahli Parlimen dari PN, PH, Sabah dan Sarawak serta beberapa Ahli Parlimen UMNO walaupun terdapat kemungkinan dipecat.

Sabtu lalu, Ismail Sabri dicemuh dan diejek ahli parti apabila Ahmad Zahid menyebut namanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Khas UMNO yang dihadiri kira-kira 3,000 ahli.

Sabtu lalu, Ismail Sabri dicemuh dan diejek ahli parti apabila Ahmad Zahid menyebut namanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Khas UMNO yang dihadiri kira-kira 3,000 ahli - Gambar Fail Bernama
Sabtu lalu, Ismail Sabri dicemuh dan diejek ahli parti apabila Ahmad Zahid menyebut namanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Khas UMNO yang dihadiri kira-kira 3,000 ahli - Gambar Fail Bernama

Ia susulan Ismail Sabri didakwa tidak ‘patuh’ kepada gesaan supaya campur tangan dalam kes rasuah membabitkan mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dan beberapa lagi Menteri UMNO, seperti Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Annuar Musa tidak menghadiri perhimpunan berkenaan yang diadakan selepas Najib dipenjara pada Selasa lalu.

Ketidakpuasan hati ahli parti terhadap Ismail Sabri amat ketara kerana beliau dianggap tidak mampu mempertahankan kepentingan parti, malah ada segelintir mempersoalkan kenapa beliau tidak hadir bagi menunjukkan sokongan.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid memberi tumpuan terhadap ketidakadilan terhadap Najib dan menegaskan parti itu tidak akan meninggalkan pemimpin terbabit.

Apabila Zahid menjelaskan bahawa pilihan raya adalah perlu kerana kerajaan pimpinan Ismail Sabri bersifat ‘hibrid’, seramai 3,000 penyokong UMNO ‘mencemuh’ apabila nama Ahli Parlimen Bera itu disebut.

Minggu lalu, ‘warloads’ dilaporkan memberi kata dua kepada Perdana Menteri, iaitu memenuhi tuntutan mereka mengenai pilihan raya dan penyingkiran peguam negara serta ketua hakim negara atau berdepan pemecatan sebagai naib presiden parti.

Bagaimanapun, Ooi Heng berkata, UMNO perlu mempertimbangkan kesan buruk jika memecat atau menarik sokongan terhadap Ismail Sabri.

“Sebaik anda memecat Perdana Menteri, ia akan memaksa semua Menteri dan Timbalan Menteri serta pemimpin UMNO lain memilih untuk menyokong mana-mana pihak,” katanya.

Tambahnya, Ismail Sabri sudah pun membuat beberapa keputusan berhubung tuntutan tersebut dengan mempercepatkan pembentangan Bajet 2023 kepada 7 Oktober depan, sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya diadakan pada bila-bila masa antara Oktober hingga Disember.

“Dalam satu senario lagi, Ismail Sabri mungkin mahu menunggu bajet diluluskan sebelum beliau membubarkan Parlimen,” katanya.

Senada dengan Ooi Heng adalah Pensyarah Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun yang menegaskan, UMNO tidak semestinya memecat Ismail Sabri dari jawatan Perdana Menteri.

“Sebagai Perdana Menteri beliau (Ismail Sabri) mempunyai kuasa meminta untuk mengadakan undi percaya (di Parlimen) jika beliau merasakan tidak lagi mempunyai majoriti (Ahli Parlimen).

“Jika itu berlaku, sokongan Ahli Parlimen PH dan PN sudah cukup untuk memperoleh majoriti walaupun UMNO tidak menyokongnya,” katanya.

Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tidak mungkin Ismail Sabri disingkirkan daripada parti itu.

“Saya tidak fikir beliau perlu (mengadakan undi percaya) kerana pilihan raya semakin hampir. Beliau mungkin kalah jika undi seperti itu dibuat.

“Beliau kini mempunyai sumber kerajaan yang boleh digunakan untuk mengukuhkan sokongannya dalam parti, terutamanya dengan kempen pilihan raya.

“Ia adalah strategi lebih baik daripada meminta undi percaya,” – The Vibes, 29 Ogos 2022

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 1 hari yang lalu

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Warga SPRM Wajib Isytihar Harta Dalam Tempoh Sebulan - KP SPRM

Semasa 23 jam yang lalu

Lakukan Serangan Seksual Terhadap 6 Pelajar, Guru Muzik Mengaku Tak Bersalah

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

oleh Sophia Ahmad