web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Rock N Roll Search Melastik Ke Bintang, ‘Menggila’ Di Bumbung Campbell 

Search tampil dengan konsert rock n roll sebenar berteras nuansa muzik yang  raw, rebel, berat dan kental serta setara dengan energi bunyian yang padat dan solid. 

Muzik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 Jun 2022 8:30PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Rasa sangsi terhadap kemampuan Denden Gonjalez untuk beraksi bersama Search tidak harus dipertikaikan lagi kerana anak kelahiran Bandung, Indonesia ini sememangnya punya kewibawaan tersendiri sewaktu beraksi di Konsert Search Rockin’ On The RoofTop di atas bumbung Campbell pada malam Sabtu lalu. 

Segalanya telah dibuktikan pada malam itu. Lantunan vokal Denden cukup luar biasa dan penuh tenaga. Kesemua lagu-lagu Search yang berat, nyaring dan bernada tinggi dapat dicapai dan dipersembahkan dengan sempurna, sehingga berjaya memukau lebih 3,000 peminat tegar dan KL troopers band muzik tersebut yang sudah membanjiri kompleks beli-belah Campbell seawal jam 7 petang. 

Namun, tumpuan terhadap konsert ini bukanlah sekadar untuk menyaksikan kemampuan vokal dan aksi Denden semata-mata tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menikmati konsert dan repertoire muzik Search itu sendiri. 

Tidak seperti konsert-konsert berskala besar mereka sebelum ini, Search yang diterajui pemain gitar adik-beradik, Kid dan Din seolah-olah mahu menyampaikan sebuah kenyataan bahawa mereka kini sudah  kembali kepada asas formasi Search itu sendiri. 

Bersama Denden selaku vokalis mereka serta Yan (pemain bass), Min (pemain dram)  serta dibantu pemain keyboard undangan iaitu Firdaus, mereka tampil dengan  sebuah konsert rock n roll sebenar dengan teras nuansa muzik yang  raw, rebel, berat dan kental serta setara dengan energi bunyian yang padat dan solid daripada permainan gitar, bass serta ketukan dram  mereka yang penuh skil. 

Ya, sememangnya itulah yang diinginkan sekelompok peminat tegar yang benar-benar menjiwai muzik rock n roll mereka dalam erti kata sebenar. Mereka ini tidak hanya mendengar Search dari sudut aspek lagu semata-mata tetapi turut mendalami setiap bunyian dan susunan muzik mereka serta  bagaimana ia diterjemahkan di dalam persembahan konsert.

Maka, usah dipersoalkan mengapa mereka tidak membawakan lagu-lagu hit Search yang ikonik seperti 'Meniti Titian Usang', 'Kejora', 'Isabella', 'Isi dan Kulit', 'Rozana', 'Gadisku' dan 'Pawana'. Konsert ini memang untuk kaki muzik melayan muzik yang lebih matang tetapi jarang dimainkan terutama di dalam album Karisma dan Rampage. 

Malah, pemilihan atas bumbung kompleks Campbell yang cukup ikonik itu sendiri amat menepati konsep raw ini, sekaligus berjaya mengembalikan semula nostalgia zaman ledakan  muzik rock pada era pertengahan era 80-an sehingga awal 90-an.

Tidak hairanlah mengapa ahli-ahli muzik dan pemuzik profesional seperti Tom Revolvers, Ritz Metalasia dan Addy Craddle juga sanggup turun untuk menyaksikan konsert ini. Bahkan, artis berpengaruh seperti Datuk M Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Tam Spider, Aweera dan Ezad Lazim juga turut kelihatan. 

Cuaca buruk menyebabkan konsert ini tidak dapat dimulakan pada jam 8.00 malam seperti yang dijadualkan. Namun rata-rata peminat tegar tetap setia menunggu untuk konsert ini dimulakan dan sementara menanti ada juga yang sibuk melayan perlawanan bola sepak yang menyaksikan Malaysia sedang bertarung dengan Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Asia 2022. 

Ada juga baru hendak membeli tiket tetapi terpaksa pulang dengan rasa marah bercampur hampa kerana kesemuanya telah habis dijual. Mungkin, ada yang terfikir bagaimana tanpa vokalis asalnya, Konsert Search Rockin’ On The Rooftop ini penuh dan tiket habis dijual? 

Sebetulnya, dalam sesebuah band muzik rock yang hebat dan gah, bintangnya tidak hanya tertumpu kepada sang vokalis sahaja tetapi juga adalah pemain gitarnya. Search pula memiliki Kid yang bukan calang-calang hebat. Dia seorang gitar hero yang amat disanjungi dan dihormati ramai peminat tegar dan ahli-ahli muzik. 

Maka, apabila konsert ini bermula sejam lebih lewat iaitu kira-kira 9 malam, Kid dan Din sudah sedia mengeluarkan senjata mereka iaitu bunyian intro lagu 'Bencana' yang cukup padu yang dibantu dengan sistem bunyi dan tatacahaya yang cukup hebat dan berkualiti. 

Pemilihan 'Bencana' sebagai lagu pembuka tirai memang cukup epik. Seperti mana ia dimainkan di dalam album mereka, begitulah seketul-seketul yang keluar tetapi lebih menakjubkan Denden pula memikul tugasnya membawakan lagu itu dengan baik. 

Search terus memberikan lagu-lagu yang hingar-bingar buat peminat tegar mereka seperti 'Metropolitan', 'Purnama' dan 'Pasti' yang bikin ramai 'brader-brader banging', layan kepala serta ikut menyanyi. 

Petikan gitar Kid dan Din semakin jahat dalam lagu 'Melastik Ke Bintang' serta 'Di Pintu Sepi' dan ia bersulam padu dengan lontaran bass Yan dan pukulan dram Min yang kencang. Sungguh luar biasa puas rasanya.

Muncul pula Rock N Roll Pie dan Emmanuelle. Lebih jahat rupanya mereka bermain di dalam lagu 'Emmanuelle' ini. Bunyian dan muzik mereka semakin meledak dan terus membangkitkan lagi rasa ketagihan. 

Apakah ertinya ini? Apakah magis yang dilakukan mereka? Petikan solo Kid menerusi lagu 'Diari Habil dan Qabil' adalah antara tumpuan utama. Sesuai dengan statusnya sebagai gitar hero, Kid beraksi selamba tetapi penuh karisma. 

“Gua sayang lu semua,” itu kata-kata keramatnya kepada peminat.  

Kid juga memberitahu bahawa konsert itu adalah konsert untuk mereka sama-sama layan muzik. 

“No blah blah blah…,” katanya lagi. 

Lagu-lagu hebat dan terbaik Search seperti 'Fantasia Bulan Madu', 'Mentari Merah Di Ufuk Timur' dan 'Teguh' dimainkan. Tak terungkap kata apabila menyaksikan Denden membawakan lagu ini. Hebat sekali untuk seseorang yang baru bergabung bersama band muzik gergasi rock itu. 

Ella turut tampil sebagai penyanyi undangan membawakan lagu 'Layar Bahtera' dan 'Bayangan' secara duet bersama Denden sebelum Search mengakhiri persembahan dengan lagu 'Neo Romantik'.

Ya, gila padu Search beraksi pada malam itu dan tidak keterlaluan jika dikatakan ia adalah konsert terbaik mereka dari segala aspek. Masih terbayang-bayang di ingatan bagaimana mereka beraksi pada malam itu dan tentunya peminat menanti, apakah seterusnya. - Getaran, 15 Jun 2022

Gambar: Search 
 

Berita Berkaitan

1

Muzik 1 tahun yang lalu

Ella Memukau, Kini Siap Sedia Terbang ke Singapura

2

Muzik 2 tahun yang lalu

Tiket Konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ Habis Terjual

3

Muzik 2 tahun yang lalu

Selepas Berdekad Di Persada Seni, Search Akhirnya Tampil Dengan ‘Sujud Aidilfitri’

4

Selebriti 2 tahun yang lalu

Ella Akui Alami Masalah Pendengaran, Terpaksa Pakai Alat Bantuan

Sorotan

1

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

2

Pemandu 4WD Positif Dadah Ditahan, Dikesan Pandu Secara Mengundur Di Lebuh Raya

3

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

4

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

5

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

6

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

Disyorkan untuk anda

Muzik 1 hari yang lalu

Dewa 19 Buktikan Keunggulan Katalog Lagu Dalam Konsert Cintaku Tertinggal Di Malaysia

oleh Rahayu MN