web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Ulasan Lagu Serantau Masa Kini

Pengarang Gaya Hidup & Hiburan Getaran, berkongsi ulasannya tentang lagu-lagu pop terbaharu yang dikeluarkan oleh penyanyi Malaysia dan negara-negara jiran terdekat setiap minggu. Mari kita singkap lima lagu pilihannya minggu ini.

Muzik Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Mar 2022 2:28PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

‘Obat Rindu’ - Suara Kayu & Kucaimars

Lagu ini menjadi pilihan peribadi saya untuk minggu ini kerana sebab-sebab tersendiri. Lagu yang menceritakan tentang hubungan jarak jauh berjudul 'Obat Rindu' ini begitu mengasyikkan. Kental dengan gaya pop-folk yang sangat sinonim dengan ramai artis Indonesia, ia menampilkan sebuah kerjasama yang bijak dengan menggabungkan bekas bintang Big Stage Malaysia, Kucaimars bersama duo terbaharu kelahiran Indonesia, Suara Kayu yang dianggotai Dewangga Elsandro serta Ingrid Tamara. Berkat petikan ukulele Suara Kayu serta warna vokal kedua-dua penyanyi, Obat Rindu berjaya menzahirkan rasa rindu yang biasanya ada dalam hubungan jarak jauh. Iramanya tidak berat dengan instrumen dan gubahannya juga mudah seperti persembahan akustik. Dengan lirik yang sangat kena dengan tema lagu serta korus yang menghiburkan, 'Obat Rindu' mungkin ubat yang dicari pasangan kekasih jarak jauh selama ini!

 

‘Resah Kerinduan’ - Tajul dan Afieq Shazwan

   

Lagu Resah Kerinduan ini pernah dipopularkan satu ketika dahulu oleh kumpulan Spin dengan vokalis utamanya arwah Achik. Kini lagu ini dihidupkan semula lewat suara adik kandung arwah Achik iaitu Tajul yang bergandingan dengan seorang lagi bintang muda tersohor Afieq Shazwan. Biarpun diberi nafas baharu namun lagu ciptaan Wan dan lirik oleh Aie ini sejujurnya tidak banyak perbezaan dengan versi asal. Selain suara dua orang penyanyi baharu, rentak dan susunan muziknya tidak banyak berubah serta tidak begitu progresif. Apatah lagi dengan suara Tajul yang agak mirip dengan suara arwah abangnya Achik membuatkan ia kedengaran seperti lagu yang sama. Mungkin ia akan kedengaran lebih menarik jika diberi sentuhan dan gubahan muzik yang lebih moden dan berbeza. Walau bagaimanapun lagu ini mungkin memang ditujukan buat peminat tegar kumpulan Spin dan jika itu tujuannya, ia telah mencapai apa yang dirancang. 

 

‘Meski’  - Ezad Lazim & Nana Karia

 

Jika di awal tadi lagu hasil kolaborasi Indonesia dan Malaysia menjadi pembuka ulasan minggu ini, kini kami tampilkan sebuah lagu berkat kerjasama antara Malaysia serta Singapura. Meski merupakan sebuah balada nyanyian bintang seberang tambak, Nana Karia dan bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim. Lagunya mudah dan sedap didengar namun korusnya pada saya agak susah untuk melekat dalam minda. Sungguhpun begitu, susunan muziknya diolah dengan baik dan ia diserikan lagi dengan gesekan biola serta celo yang dirakam secara langsung untuk single ini. Soal vokal tak perlu dipertikaikan lagi kerana sesungguhnya Ezad mempunyai suara yang hebat dan buat warga Malaysia yang tidak mengenali Nana Karia, Nana merupakan bekas peserta beberapa rancangan realiti Singapura seperti Anugerah (2002) dan juga Singapore Idol (edisi Wildcrad 2004). Paduan suara mereka berdua menepati kriteria lagu ini, namun untuk menyerlah mereka bakal berhadapan dengan lebih banyak balada saingan yang mungkin lebih menonjol gubahan lagunya.

 

‘Alah Kantoi’ - Syameer Azmi featuring SHEE  

Lagu ciptaan penyanyinya sendiri, Syameer Azmi bersama Knight Cydeen dan Syaf Ramli ini mempunyai hook yang baik. Korusnya mudah diingati kala dimainkan dan iramanya menghiburkan. Menggabungkan elemen pop, R&B dan sedikit suntikan hip hop lewat nyanyian rap penyanyi rap wanita SHEE, 'Alah Kantoi' mampu menjadi lagu siulan ramai jika mendapat putaran radio selayaknya. Cubaan yang baik oleh Syameer dan semoga ini akan mencetuskan lebih banyak lagi projek muzik yang hebat daripadanya di masa hadapan.

‘Terima Kamu Seadanya’  - Dila Junaidi   

Vokalis wanita dari Brunei Darussalam, Dila Junaidi mempertaruhkan lagu terbaharunya berjudul 'Terima Kamu Seadanya' dan mendapat perhatian saya untuk ulasan minggu ini. Dila yang sememangnya mempunyai suara yang bagus nan merdu berjaya menyampaikan balada ini dengan begitu baik sekali. Malah, suara Dila sangat sesuai untuk lagu bergenre seperti ini kerana ia memberi ruang untuk Dila melontarkan kemeriahan warna vokalnya. Balada ini banyak memberi ruang pada suara Dila dan bukan memberi penekanan padu pada susunan muzik. Selain itu, lagu ini juga sangat sesuai untuk dijadikan runut bunyi drama kerana liriknya yang menyentuh perasaan serta iramanya yang menenangkan. - Getaran, 9 Mac 2022

 


 

Berita Berkaitan

1

Muzik 2 tahun yang lalu

Ria Ramadan, Kolaborasi Unik Kumpulan Venus dan UNIC 

2

Muzik 2 tahun yang lalu

Kecoh! Video Helo Kuala Lumpur Di Youtube Jadi Kontroversi Di Indonesia?

3

Muzik 2 tahun yang lalu

Lagu Terakhir Beatles Disiapkan Dengan Bantuan AI

4

Muzik 3 tahun yang lalu

Jatuh Cinta Dengan Sahabat Sendiri, Tetapi Memilih Untuk Pendam Perasaan, Luahan Adrianna Terhadap 'Sayang'

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

Disyorkan untuk anda

Muzik 1 hari yang lalu

Dewa 19 Buktikan Keunggulan Katalog Lagu Dalam Konsert Cintaku Tertinggal Di Malaysia

oleh Rahayu MN