web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


'Senandung Melayu' Nukilan Lirik Pertama Keon Omar Buat M Nasir

'Senandung Melayu' mengutarakan kegemilangan tentang bahasa dan budaya Melayu, namun agama dijadikan sebagai perlambangan. 

Muzik Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Feb 2022 8:32PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Setelah lebih 20 tahun menulis lirik lagu Melayu tempatan, Keon Omar yang juga Pengarah Produksi Luncai Emas mengakui cukup terharu apabila pertama kali diberi peluang untuk menghasilkan lirik buat lagu 'Senandung Melayu' nyanyian Datuk M Nasir. 

“Selama ini memang dia ada minta saya menulis lirik tapi hanya untuk lagu-lagu yang dicipta untuk penyanyi-penyanyi atau kumpulan muzik yang ada di negara ini. 

“Bila dia minta saya menulis lirik untuk lagu 'Senandung Melayu', saya terkejut. Tak sangka dia minta saya menulis lirik lagu yang dia sendiri akan nyanyikan. 

“Selama bersama dan membantu kerjaya muzik beliau, saya tidak pernah meminta atau bertanya untuk menghasilkan lirik lagu buat beliau,” katanya kepada Getaran. 

Menurut Keon lagi, sebagai pencipta lagu, M Nasir mempunyai pilihan untuk menentukan penulis lirik yang sesuai untuk lagu-lagu nyanyiannya.

“Dan, kalau kita kaji kebanyakan lagu-lagu nyanyian beliau, banyak sekali liriknya dihasilkan arwah Loloq atau Rosli Khamis. 

“Memang beliau serasi bersama Loloq dan hal itu kita tidak boleh nafikan. Kita perlu hormati hakikat itu," katanya.  

Keon (dua dari kiri) berbesar hati dapat menghasilkan lirik lagu dendangan M Nasir.
Keon (dua dari kiri) berbesar hati dapat menghasilkan lirik lagu dendangan M Nasir.

Berbalik kepada 'Senandung Melayu', Keon menjelaskan, lagu itu sebenarnya sudah lama dihasilkan untuk sebuah album projek khas antara Luncai Emas dengaan BMG Music (Malaysia) yang sepatutnya berlangsung pada lewat 90-an. 

“Album projek ini sebenarnya menggandingkan M Nasir dengan komposer dari Amerika Syarikat iaitu Brad Parker. 

“Tetapi disebabkan hal-hal tertentu, projek itu terkandas. Namun, empat lagu berjaya dirakamkan dan salah sebuah lagu itu adalah 'Senandung Melayu'. Ia dirakam pada 1998. 

“Selepas terkandasnya projek album tersebut, Luncai Emas sendiri tidak berbuat apa-apa untuk meneruskannya. Tetapi, ada di antara keempat-empat lagu itu dimuatkan dalam album kompilasi M Nasir. Sebagai contoh lagu 'Dalam' yang liriknya dihasilkan Loloq. 

“Lagu 'Senandung Melayu' juga ada dimuatkan dalam salah satu kompilasi M Nasir dan pernah dipersembahkan beliau di konsert yang berlangsung di stadium Shah Alam. 

“Bahkan lagu ini turut dipilih untuk menjadi lagu tema dokumentari 13 episod  bertajuk 'Math Nawi'. Ia telah pun ditayangkan di RTM awal tahun ini,” katanya. 

Memandangkan M Nasir sudah lama tidak muncul dengan single baharu, Keon berkata, pihak Luncai Emas mengambil keputusan untuk meluncurkan lagu itu di YouTube Luncai Emas Sdn Bhd. 

“Walaupun ia bukanlah karya baharu, ia jarang didengar serta tidak diketahui peminat.  

“Jadi, kita persembahkan lagu ini beserta dengan lirik videonya sekali. Sejak ia mula dimuat naik di YouTube pada 24 Januari lalu, maklum balas peminat sangat positif. 

“Ramai suka bunyian dalam lagu ini. Mereka kata sedap. Memang mengakui kehebatan kolaborasi M Nasir dan Brad Parker," katanya lagi. 

Menyentuh proses awal penghasilan lirik 'Senandung Melayu', Keon mengakui berasa agak tertekan menghasilkannya.  

“Lagu ini untuk dendangan M Nasir dan pastilah beliau meletakkan harapan dan jangkaan tinggi untuk saya hasilkan yang terbaik. 

“Alhamdulillah, selepas menghasilkan lirik ini buat pertama kali, beliau terus terima dan merakam suara.  

“Mengejutkan juga kerana ada beberapa lirik lagu yang saya pernah buat untuk penyanyi lain sebelum ini ditolaknya beberapa kali sehinggalah menepati kehendaknya,” katanya. 

Tentang kandungan dan maksud yang terdapat dalam lirik lagu 'Senandung Melayu' pula, Keon menjelaskan ia mengutarakan kegemilangan bahasa dan budaya Melayu. 

“Namun, agama menjadi perlambangan di mana ia menyusuri kedatangan awal Islam di Tanah Melayu dan bagaimana ia menjadi pusaka yang diwarisi turun-temurun.

“Ada penggunaan beberapa perkataan Melayu lama diselitkan dalam lagu ini kerana saya tidak mahu ia hilang dalam peradaban hidup kita. 

“Antaranya kencana yang bermaksud emas, bersemenda (kahwin dengan) dan berpesaka adalah perkataan Negeri Sembilan yang bermaksud menetap. 

“Namun, sebelum menggunakan perkataan-perkataan Melayu lama ini, saya sentiasa rujuk kamus kerana bimbang penggunaan tidak menepati maksudnya," katanya. - Getaran,  9 Februari 2022

Gambar: Facebook Keon Omar 

Berita Berkaitan

1

Muzik 2 tahun yang lalu

Magis Maestro M Nasir

2

Semasa 3 tahun yang lalu

Lagu Malaysia MADANI Diperdengar, Susuli Konsep Pentadbiran Kerajaan Perpaduan

3

Filem & TV 3 tahun yang lalu

Akui 4 Kali Rombak Skrip, Akhirnya Mior Hashim Manap Terbitkan Sendiri Filem Imam Yang Juga Arahannya 

4

Kolum 3 tahun yang lalu

Sebuah ‘Collage’ Mengenai Penulisan Lirik

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

Disyorkan untuk anda

Muzik 1 hari yang lalu

Dewa 19 Buktikan Keunggulan Katalog Lagu Dalam Konsert Cintaku Tertinggal Di Malaysia

oleh Rahayu MN