Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Sorotan Getaran 2021 : Ulasan Lagu Serantau

Pengarang Gaya Hidup dan Hiburan Getaran, berkongsi ulasannya tentang 10 lagu serantau pilihannya yang pernah diulas sepanjang tahun 2021.

Muzik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Dec 2021 11:05AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Banyak lagu yang telah saya dengar dan ulas sepanjang tahun 2021, namun sepuluh lagu yang disenaraikan ini merupakan lagu-lagu yang paling saya sukai dari Malaysia, Singapura dan Brunei!

 

‘Karma’ – Kaka Azraff dan Jaz 

Di Malaysia lagu-lagu terkenal di radiolah yang biasanya akan mendapat perhatian dan berkemungkinan besar mencuri ruang di anugerah-anugerah tersohor.

Itulah yang boleh dikatakan tentang karya terbaru komposer prolifik Farouk Roman ini. Karyanya memang tidak pernah mengecewakan.

Dipilih menjadi runut bunyi asal drama ‘Takdir Yang Tertulis,' lagu berjudul ‘Karma’ ini mekar dengan nuansa pengaruh lagu-lagu pop Indonesia.

Dibuat lebih menarik lagi kerana lagu ‘Karma’ didendangkan oleh dua penyanyi berbakat dari dua negara serumpun iaitu Jaz seorang penyanyi R&B dari Brunei yang membina nama di Indonesia bersama dengan wajah TARA pertama kami, Kaka Azraff salah seorang pejuang irama R&B Malaysia yang juga anak saudara kepada Ratu Rock Malaysia, Ella.

Ia menjadi lebih istimewa dengan lirik puitis nukilan penyanyi R&B Melayu baru berbakat besar Aisha Retno (yang kebetulan merupakan anak kepada seorang penyanyi Indonesia era 80-an).

Dengan korus yang agak senang diingati berserta bait-bait indah, lagu cinta ini masih mengekalkan formula sama seperti karya-karya Farouk Roman sebelumnya.

Kami yakin pencinta lagu balada Melayu moden dan peminat lagu-lagu Indonesia yang mirip hasil kerja Melly Goeslaw khasnya pasti akan menyukai karya ini.

Lagu ini juga layak ke peringkat separuh akhir Juara Lagu 2021.

 

‘Kabut Serangkai Mawar’ - Mafarikha

Meremang. Itu yang mampu kami simpulkan. Sebaik sahaja mendengar suara Mafarikha masuk mengisi melodi lagu ini, seolah-olah semuanya terhenti berkat vokalnya yang merdu.

‘Kabut Serangkai Mawar’ sememangnya bukanlah karya asing buat peminat tegar muzik Melayu.

Lagu asal nyanyian penyanyi hebat Zaiton Sameon ini pernah menjadi salah satu lagu popular di zaman kegemilangannya pada era 80-an dahulu.

Dan kini versi baharu yang dirakam semula oleh Mafarikha ini nampaknya mampu memberi perspektif yang lebih kontemporari buat generasi hari ini.

Dengan susunan muzik yang lebih segar oleh Ashraf Aasimudin, karya hebat ciptaan M. Nasir ini pasti mampu meraih segerombolan peminat baharu. Syabas Mafarikha!

 

‘Matahari’ - Haikal Ali dan Adriana

Cinta dengar pertama. Sebaik sahaja melodi pembuka lagu ini dimainkan saya sudah jatuh cinta pada melodi dan suara para vokalisnya. Merdu dan menenangkan.

Sebuah lagu cinta yang ‘manis’ dan ada kelainan, karya ini sangat menyegarkan dan kehadirannya dari jiran terdekat kita di Singapura menjadikannya lebih menarik lagi.

Dicipta oleh Jaybon dan Bani Hidir dengan lirik oleh Faisal, ‘Matahari’ memberi peluang kepada Haikal Ali dan Adriana bermain dengan nada suara mereka yang memang serasi.

Suara bass dan sedikit garau Haikal seperti melengkapi vokal merdu Adriana yang bersahaja.

Biarpun ada persamaan dengan lagu-lagu kumpulan dari Indonesia seperti Ran, Hi-Vi dan seumpamanya ia tetap wajar diberi pengiktirafan kerana kualitinya yang bagus.

Berkat susunan muzik yang santai dan tidak berlebihan serta sedikit suntikan R&B di balik irama lagu, saya harap ‘Matahari’ ini akan dapat sampai ke telinga kawan-kawan serantau di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Tahniah buat mereka di seberang tambak.

 

‘Air Mata Salju’ - KamarxKazie Hyrie Ridwan, Fazly Ridwan dan Dilliqeez

Sebuah lagi karya dari Singapura terbitan Ashidy Ridwan yang tidak mengecewakan, sekali gus menjadi salah satu karya kegemaran saya dalam senarai ulasan minggu ini.

Menampilkan bakat-bakat hebat dari seberang tambak, bait-bait pembuka lagu ini sahaja sudah membuat hati saya terpaut.

Biarpun itu mungkin cita rasa peribadi saya, namun saya sekali lagi memuji usaha Ashidy Ridwan menerbitkan lagu berbahasa Melayu yang berkualiti dengan sedikit sentuhan balada R&B.

Lebih menarik, lagu ini tidak perlu mencuba dengan berlebihan. Cukup dengan iringan piano asas sudah memadai untuk melengkapi ikatan vokal luar biasa KamarxKazie Hyrie Ridwan, Fazly Ridwan dan Dilliqeez.

Syabas buat mereka dan semoga lebih banyak karya seperti ini akan muncul bukan sahaja di Singapura tapi juga di Brunei dan Malaysia. 

 

‘Cakap Sini Habis Sini’ - Alif Abdullah, Syed Azmir, Fauzie Laily dan Hyrul Anuar 

Ini juga sebuah lagu yang sudah dilancarkan di bumi Singapura namun saya baru berpeluang mengenalinya selepas terlihat ia dikongsi di media sosial.

Lagu ini juga masih diminati pendengar muzik Melayu Singapura dan saya merupakan peminat terbaharu mereka.

Lagunya pendek, kompak namun menyengat. Tidak sampai tiga minit tetapi ia begitu mengasyikkan.

Saya terbuai dengan muziknya yang digubah baik oleh Alif dan disulam dengan warna vokal hebat penyanyi lelaki Singapura Syed Azmir, Fauzie Laily dan juga Hyrul Anuar.

Saya harap peminat di negara-negara jiran akan dapat menangkap keajaiban yang ada pada lagu bertaraf dunia ini. Syabas Singapura!  

 

‘Gaji’ - YK dan Sheron Tan

Sebaik sahaja lagunya dimainkan saya seperti ingin ikut menari melayan melodinya yang begitu menghiburkan.

Lagunya rancak, moden dan ada sedikit suntikan ‘old school’ yang mengingatkan saya pada era disko dan 70-an.

Sungguhpun berpaksi pada irama hip hop berkat nyanyian rap YK yang sangat unik ia diserikan pula dengan vokal comel Sheron Tan, seorang vokalis asal Sabah, Malaysia.

Sebuah lagi karya terbitan bumi Temasek yang tidak menghampakan, saya yakin peminat di Malaysia akan menyukai lagu ini jika ia dimainkan di radio-radio tempatan.

Dengan pesanan lagu tentang sesuatu yang universal iaitu ‘gaji', lagu ciptaan penuh Amyr Abadawn serta YK Young Khalifa ini sendiri sememangnya sebuah lagi karya Singapura yang berkualiti.

Diharap akan ada lebih banyak lagi projek seumpama ini daripada mereka.

 

‘IFWYV’ - ASMAI feat. WAZ, Swanz, Aziz Harun

Lagu ini mungkin sudah agak lama diterbitkan namun ia masih kekal di carta muzik Brunei dan saya baru menemuinya juga. Sekali lagi muzik Brunei membuka mata dan mengagumkan telinga saya.

Lagu berbahasa Inggeris ‘I Funk With Your Vibes’ atau ‘IFWYV’ ini menampilkan empat bintang muda Brunei iaitu ASMAI, WAZ, Swanz dan juga Aziz Harun.

Ditulis oleh mereka berempat, lagu ini sememangnya berada di kelas tersendiri.

Jika anda mendengarnya tanpa melihat wajah sang penyanyi, anda mungkin tidak akan menyangka bahawa ia dinyanyikan oleh penyanyi Melayu Brunei.

Ini kerana vokal dan muzik mereka persis karya antarabangsa yang berkualiti tinggi. Saya menikmati setiap detik lagu ini dan yakin anda juga akan berpendapat sebegitu.

 

‘Hourglass’ - Zaiana 

Lagu yang berjudul ‘Hourglass’ oleh Zaiana ini adalah lagu berbahasa Inggeris yang mempunyai kelas tersendiri dan jika anda mendengarnya anda tidak mungkin dapat meneka yang ia dinyanyikan oleh seorang gadis Melayu Brunei.

Zaiana mempunyai suara yang merdu dan nada vokal yang sedap didengar.

Mengingatkan saya kepada Demi Lovato, dan Selina Gomez, ‘Hourglass’ ciptaan Mirza Yusof dan Wacko Genius ini mempunyai gubahan muzik yang menepati citarasa masa kini dan tidak perlu berlebih-lebihan dalam persembahan.

Ini mungkin membuatnya menjadi satu karya yang berkualiti dan benar-benar wajar diberi perhatian.

Semoga kami diberi peluang mendengar lebih banyak karya daripada Zaiana di masa hadapan.

 

‘Sendiri’ - Dayat Ahim

Lagu ini mungkin bukanlah baru buat para pencinta muzik Brunei tapi buat anda di luar Brunei ini mungkin pertama kali mendengarnya.

Lagu yang bertajuk ‘Sendiri’ nyanyian Dayat Ahim ini pada saya sangat bagus ciptaannya dan saya gembira dapat mendengarnya selepas dihubungi oleh penyanyinya sendiri.

Malah, jujur saya katakan ia lagu kegemaran saya dalam ulasan minggu ini. Pujian tersebut saya berikan kerana ia benar-benar berbeza dengan lagu-lagu Melayu yang sering disuakan kepada kita lewat corong radio tempatan.

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa karya ini sangat unik berkat susunan muziknya yang lari dari kebiasaan.

Lebih menarik, ia disuntik bunyian akordion yang memberikannya sedikit nuansa Perancis untuk membezakannya dengan lagu-lagu lain.

Saya sangat berharap lagu ini boleh mendapat perhatian pendengar muzik Malaysia kerana ini bukti Brunei Darussalam memang lubuk harta bakat muzik nusantara yang tersembunyi.

Syabas Dayat!

 

‘Bingkai Rasa’ - Ruang Hati feat. Heidi Moru

Tenang. Begitulah perasaan saat mendengar karya hebat ini. ‘Bingkai Rasa’ merupakan sesuatu yang sangat segar dan berbeza dari apa yang sering kita disogokkan di corong-corong radio hari ini. 

Mempertaruhkan lagu dan lirik ciptaan Syahir Cherpen iramanya begitu segar dan menusuk jiwa kala mendengar. Suara merdu Heidi Moru melengkapkan trek ini menjadikannya lebih indah.

Kami yakin anda akan menerawang dan terbuai-buai saat getaran bunyi dari lagu ini menynetuh gegendang telinga anda.

Mudah dan tidak memaksa 'Bingkai Rasa' wajar dimainkan di putaran radio tempatan untuk membuktikan evolusi muzik Melayu mampu bervariasi dengan gubahan muzik yang indah dan ikhlas.

Syabas Ruang Hati, Syahir Cerpen dan Heidi Moru! - Getaran, 29 Disember 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 1 tahun yang lalu

Ulasan Lagu Serantau Masa Kini

2

Muzik 1 tahun yang lalu

Ulasan Lagu Serantau Masa Kini

3

Muzik 1 tahun yang lalu

Ulasan Lagu Serantau Masa Kini

4

Muzik 1 tahun yang lalu

Ulasan Lagu Serantau Masa Kini

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Selebriti 7 jam yang lalu

Neelofa Akui Khilaf Ketika Beri Nasihat Kepada Pemanggil Radio Era

oleh Helmi Anuar

Selebriti 1 hari yang lalu

Lagu Raya Bukan Sekadar Sedap Didengar, Tapi Perlu Ada 'Jiwa'