Tidak diduga, rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri ala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua.
Perasaan kecewa, hiba dan gusar dirasai hampir semua lapisan masyarakat tidak kira agama dan bangsa.
Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menuntut kerajaan mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.
Ramai yang marah kerana terpaksa membatalkan hasrat untuk menyambut Hari Raya dengan keluarga tercinta.
Ada yang menyoal kenapa kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan PKP hanya bila Hari Raya dah dekat dan bukan pada awal lagi.
Bohonglah jika saya berkata saya menyambut baik tindakan kerajaan untuk mengenakan PKP terbaru.
Namun, harus diakui, kelemahan pematuhan SOP memang wujud, baik di kampung ataupun di bandar. Ini termasuk mereka dari ‘kluster kayangan’ hinggalah mereka dari ‘kluster marhaen’.
Meluat sangat apabila melihat mereka yang tidak patuhi SOP.
Baru-baru ini saya menegur seorang pelayan di sebuah restoran di Ampang kerana gagal memakai pelitup muka sewaktu mengambil pesanan dan menghidangkan makanan. Bukan hanya pelayan, tukang masak, juruwang semua pun sama.
Apabila ditegur, jawapan yang diberikan adalah “Ya, ya, ya” tapi pelayan tersebut tidak peduli dengan teguran dari pelanggan.
Mungkin pekerja-pekerja di restoran ini merasakan mereka sudah kebal dan tidak boleh dijangkiti atau menjangkiti pelanggan dengan COVID-19.
Mungkin juga pemilik restoran ini merasakan perniagaan beliau sudah cukup berjaya dan tidak memerlukan orang ramai berkunjung ke kedainya.
Ini baru satu kedai di Ampang. Ramai lagi pekerja di premis perniagaan di kawasan-kawasan lain yang juga tidak mematuhi SOP.
Terdapat banyak lagi contoh kelemahan pematuhan SOP seperti mereka yang gemar mengambil suhu badan menggunakan tangan, memakai pelitup muka di bawah dagu dan tidak peduli dengan penjarakan sosial.
Pokoknya, inilah mentaliti segelintir rakyat di negara ini.
Nak kena PKP berapa kali lagi baru nak belajar?
Carilah hikmah di sebalik PKP 3.0 dan sedarlah bahawa selagi kita leka, selagi itulah kita akan dibelenggu PKP.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. - Getaran, 14 Mei 2021
Pearl Lee merupakan pengasas bersama dan pengarang urusan portal berita Twentytwo13. Hubungi beliau melalui Twitter @pearllee22