KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera memperkenalkan undang-undang yang akan menyediakan perlindungan sosial lebih besar kepada rakyat Malaysia.
Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus berkata, undang-undang itu sepatutnya merangkumi insurans dan faedah pengangguran, perlindungan dan hak kesatuan sekerja lebih luas serta peraturan lebih ketat untuk mengawal pemberhentian pekerjaan.
Katanya, pengurusan kanan dan pengarah syarikat yang melanggar undang-undang buruh negara juga, harus dikenakan tindakan serius.
“Pekerja di Malaysia sudah menjadi asas pertumbuhan negara sejak merdeka. Adalah sesuatu yang memalukan apabila pekerja Malaysia dengan sengaja dipinggirkan selama ini.
“Peminggiran itu dilakukan melalui penindasan hak mereka (pekerja) dan penafian berterusan terhadap kesaksamaan daripada kejayaan dan pertumbuhan ekonomi negara yang sudah dirosakkan,” katanya menerusi kenyataan.
Callistus berkata, buat pertama kali dalam beberapa dekad, terdapat sedikit harapan untuk memulihkan keseimbangan dan kesaksamaan dalam trajektori sosioekonomi negara, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, pelan reformasi diperkenalkan Anwar yang berkonsepkan Malaysia MADANI secara tepat menunjukkan dengan jelas kesan ketidaksamaan ekonomi yang diakibatkan oleh pengabaian bertahun, rasuah diinstitusikan, dasar tidak sesuai dan kekurangan tadbir urus baik.
Beliau berkata, menerusi data Bank Dunia, Malaysia mempunyai Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita sebanyak US$27,607 pada tahun 2019, sekali gus meletakkan negara ini sebagai berpendapatan sederhana berdasarkan ukuran Bank Dunia.
“Pada tahun 2020, peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan negara dengan pendapatan RM2,208 (kira-kira US$11 seorang sehari) adalah pada kadar 8.4 peratus.
“Soalan perlu ditanya sama ada isi rumah boleh mengekalkan taraf hidup sesuai yang menjadi hak asasi manusia, dengan pendapatan (hanya) RM2,208 sebulan, terutamanya di bandar besar. Jelas sekali, jawapannya adalah negatif. Ini bermakna bahawa kadar kemiskinan di negara ini lebih tinggi daripada data dicadangkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Callistus berkata, penegasan Anwar bahawa rasuah mengakibatkan ekonomi Malaysia dikawal sekumpulan kapitalis terpilih adalah tepat.
Jelasnya, ia menghalang sifat dinamik kapitalisme yang adil dan saksama daripada berkembang.
Golongan miskin, katanya, menjadi semakin miskin, manakala golongan pertengahan dihimpit kemiskinan dan satu peratus semakin kaya serta merompak rakyat.
“Rasuah memberi keuntungan kepada ‘raja perompak’, termasuk syarikat besar dan multinasional asing.
“Anwar sudah mengenal pasti isu itu, mendedahkannya tanpa rasa takut atau pilih kasih dan memberi jaminan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia.
“Kini tiba masa untuk bertindak dan melaksanakan transformasi Malaysia demi kepentingan semua rakyat dan bukan hanya korup,” katanya.
Justeru, beliau berharap, lebih ramai pekerja akan meraikan sambutan Hari Pekerja dengan lebih ‘gembira’ pada tahun seterusnya.
“Ia perlu dipercepatkan dan tidak lagi perlu membuang masa dalam usaha mengembalikan keadilan kepada pekerja Malaysia,” katanya. – Getaran, 30 April 2023