Berita Terkini

3 hari yang lalu: Lebih 10,000 unit Residensi MADANI dan Wilayah disasar dibangunkan di Putrajaya bermula tahun ini - Dr Zaliha 3 hari yang lalu: Kerajaan teliti secara terperinci sebelum buat keputusan tawaran anjur Sukan Komanwel 2026- PM 2 minggu yang lalu: Kadar zakat fitrah bagi Terengganu ditetapkan RM10, RM22 seorang tahun ini - MAIDAM 2 minggu yang lalu: Zakat fitrah bagi negeri Sabah ditetapkan RM7.50 seorang tahun ini - MUIS 2 minggu yang lalu: Sebuah helikopter terhempas di Kuala Selangor pagi tadi - APMM

IKUTI KAMI


Kempen Daftar Vaksin COVID-19 Bukan Seperti Kempen Daftar Undi

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Apr 2021 10:40AM

Gambar fail

oleh

Pearl Lee

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sudah hampir dua bulan sejak Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula di negara ini. 

Walaupun 8.4 juta orang telah mendaftar untuk menerima vaksin setakat 14 April lalu, hakikatnya jumlah ini sangat kecil berbanding sasaran 27 juta. 

Pihak berkuasa memberitahu mereka yang belum mendaftar sedang mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Tapi adakah ini punca sebenar orang tidak mahu mendaftar untuk mendapat vaksin?

Perbualan saya dengan beberapa individu baru-baru ini mendedahkan beberapa sebab mereka enggan mendaftar.

Seorang ahli farmasi berkata walaupun isterinya yang juga ahli farmasi sudah mendaftar, namun beliau mahu diberi pilhan untuk memilih vaksin yang akan diambil.

Seorang warga asing yang sudah bekerja di Malaysia lebih 10 tahun memberitahu, beliau tidak tahu bahawa beliau dikehendaki mendaftar.

Seorang ahli perniagaan pula memaklumkan beliau hanya mendaftar kerana mengikuti jejak kawan-kawannya.

Seorang warga emas pula menyatakan beliau tidak banyak keluar rumah dan merasakan tidak perlu lagi mengambil vaksin, manakala seorang pegawai kerajaan mengatakan beliau mendaftar kerana ingin melancong.

Seorang peguam pula berkata beliau belum mendaftar kerana merasakan terdapat banyak laporan terkini berkaitan keselamatan beberapa jenis vaksin dan ini membuatkannya belum cukup yakin. 

Walaupun masing-masing mempunyai sebab tersendiri untuk mendaftar atau tidak mendaftar, realitinya semua pihak harus akui pendekatan yang digunakan untuk memastikan rakyat menerima maklumat tepat dan mencukupi mengenai vaksin di negara ini masih belum memadai.

Persepsi segelintir orang bahawa hanya mereka yang buta huruf atau teknologi atau mereka yang duduk di kawasan pedalaman akan lambat mendaftar mungkin tidak tepat. 

Turut serta dalam kumpulan ini ialah mereka yang berpelajaran, duduk di kawasan bandar dan mempunyai akses kepada internet dan sumber-sumber berita. 

Awal minggu ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata sejumlah 31,776 janji temu sudah dihantar kepada penerima vaksin fasa kedua melalui aplikasi MySejahtera dan SMS.

Beliau turut menyatakan daripada 31,776 janji temu yang dihantar, 13,218 menjawab akan hadir, 343 menjawab mereka tidak hadir dan 18,215 atau 57 peratus lagi masih belum memberikan pengesahan kehadiran.

Data ini tidak harus dipandang ringan.

Baru-baru ini, portal berita Twentytwo13 melaporkan tentang hasrat kumpulan doktor dari pihak swasta dan juga doktor yang telah bersara untuk menolong kerajaan dalam Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Di dalam laporan itu, Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Datuk Dr Amar Singh HSS berkata menjadi kebiasaan bagi seseorang itu untuk bertanya kepada doktor keluarga atau kenalan doktor tentang isu-isu berkaitan kesihatan dan ini termasuk vaksin COVID-19.

Menurut Dr Amar, pihak kerajaan harus berkongsi data dan maklumat berkenaan pelan imunisasi ini agar golongan doktor yang walaupun telah bersara dapat menjadi ejen untuk menyalurkan maklumat yang tepat tentang kepentingan mendapatkan vaksin.
 
"Sebagai doktor, apabila ditanya orang, kita tidak harus hanya menyalurkan maklumat bahawa vaksin itu selamat. Tetapi maklumat yang kami salurkan itu harus berlandaskan kepada data," katanya.

Beliau turut berkata risk communication plan atau pelan komunikasi risiko adalah amat penting demi memastikan orang ramai betul-betul faham dan percaya kepada keberkesanan vaksin COVID-19.

Pada penulis, mesej yang harus disampaikan harus mudah dan senang difahami. 

Malah maklumat utama yang harus disampaikan mengenai vaksin COVID-19 ialah: Ia selamat. Ia berkesan. Ia melindungi. Ia percuma.

Jika pihak kerajaan mengatakan penggunaan sesuatu vaksin itu mendatangkan lebih manfaat dari mudarat, terangkan kepada orang ramai bagaimana dan mengapa.

Gunakanlah data yang mencukupi dan platform yang tepat untuk menyalurkan maklumat yang betul kepada golongan sasar.

Semua pihak harus membuka minda dan mata serta mengambil pendekatan yang betul untuk memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi COVID-19 akan tercapai.

Harus ingat, kempen bagi menggalakkan orang ramai mendaftar untuk divaksinasi bukan seperti kempen daftar undi.  Pendekatan yang diambil bukanlah sama. 

Pokoknya, tiada makna jika seseorang itu mendaftar tetapi tidak hadir mendapatkan vaksinasi. - Getaran, 16 April 2021.

Pearl Lee merupakan pengasas bersama dan pengarang urusan portal berita Twentytwo13. Hubungi beliau melalui Twitter @pearllee22

Sorotan

1

Cloud KBS Digodam, Hannah Sahkan Tiada Ketirisan Data

2

Agong Kurnia Surat Cara Pelantikan Kepada 5 Hakim

3

Kebakaran Hutan Di Bukit Broga Berjaya Dipadamkan

4

Malaysia Tidak Sebelahi Mana-Mana Negara, Sambut Baik Pelaburan Beri Manfaat - PM

5

Putin Dahului Pilihan Raya Presiden Rusia

6

Cukai Perkhidmatan: Tiada Kenaikan Tambang Feri, Penginapan Di Marina Island

7

Syarat Hamas Dalam Cadangan Gencatan Senjata Di Gaza, Realistik