Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Kekurangan Diri Bukan Halangan, Pemuda Kembar Siam Genggam Cita-Cita

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Oct 2021 7:17AM

Muhammad sewaktu majlis konvokesyen.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tiada apa yang mustahil dalam kehidupan, dan ungkapan itu amat tepat untuk menggambarkan kecekalan hati Muhammad Rosli, pemuda kembar siam yang pernah menggemparkan negara hampir 20 tahun lalu.

Meski perlu menempuh seribu kekurangan, Muhammad membuktikan ia bukan penghalang apabila berjaya menggenggam cita-cita yang disemai sedari kecil.

Kini bergelar penyelaras projek di sebuah syarikat teknologi maklumat di Banting, Selangor sejak lapan bulan lalu, pemuda berusia 23 tahun itu sudah mampu berdiri dengan bangga.

Lebih menggembirakan, Muhammad yang berjaya dipisahkan dengan abangnya, Ahmad menerusi pembedahan di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi pada September 2002, tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pekerjaan idamannya itu.

“Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sains Komputer Disember tahun lalu.

“Dalam tempoh sebulan selepas  tamat pengajian saya hantar resume di lebih 10 syarikat tetapi tiada jawapan balas, namun tidak lama lepas itu, saya dapat panggilan temu duga dan ditawarkan pekerjaan sehari kemudian,” katanya kepada Getaran.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, dia terharu kerana masih ada syarikat yang sudi menerima kekurangan dirinya walaupun pada saat negara berdepan ancaman COVID-19.

“Mulanya memang risau sebab ramai kehilangan pekerjaan disebabkan COVID-19. Namun saya tetap positif dan percaya rezeki akan hadir bila tiba masanya.

“Saya sendiri terkejut dan sebak apabila diberitahu terpilih dan diminta untuk mula bekerja sehari selepas menghadiri temu duga menerusi aplikasi Google Meet,” katanya,  terharu.

Menurut pemuda bersemangat waja itu, dia memilih untuk bersikap jujur dan berterus terang mengenai kekurangan yang dialaminya sejak lahir.

“Semasa temu duga itu, saya beritahu situasi yang menimpa saya sejak kecil tapi pada masa sama saya senaraikan kelebihan yang saya ada. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan,” katanya.

Muhammad (kiri) bersama kembarnya, Ahmad
Muhammad (kiri) bersama kembarnya, Ahmad

Mengenai kerjayanya ketika ini, Muhammad yang diberi tanggungjawab untuk menyelaras pengujian perisian memberitahu dia diberi keistimewaan untuk bekerja dari rumah kerana kekangan yang dihadapinya.

“Melihat kepada situasi saya sekarang, saya memang akan bekerja dari rumah sahaja. Saya takkan masuk pejabat kecuali kalau ada mesyuarat yang penting.

“Kalau ada tugasan luar daerah, saya juga tak perlu ikut serta. Sesungguhnya saya memang terharu dan bersyukur sebab syarikat faham situasi saya.

“Bekerja dari rumah tidak mudah, jadi kalau ada apa-apa masalah, saya kena WhatsApp atau hubungi staf lain minta bantuan,” katanya.

Anak muda yang sentiasa tersenyum manis itu memberitahu, dirinya kian betah menjalankan tugas hari demi hari, walaupun sebahagian besar pertemuan dan interaksi bersama rakan setugas hanya berlangsung secara maya.

Dia juga mengakui, gembira kerana dapat membantu ayahnya, Rosli Abdul Rahim, menyara keluarga besar mereka.

“Bila dah bekerja ni kiranya saya dah ada tanggungjawab terhadap keluarga. Dulu ayah yang keluar cari nafkah untuk keluarga.

“Sekarang sudah tiba masanya saya balas jasa dia selama ini. Apa yang ayah buat untuk saya dan abang masih lagi segar di ingatan. Dia sanggup dukung kami ke kelas.

“Apa yang saya lakukan ketika ini masih belum cukup untuk membalas pengorbanan besarnya itu,” katanya, sebak.

Ketika ditanya mengenai Ahmad, Muhammad berkata abangnya yang mesra disapa Along masih lagi belajar di peringkat diploma berikutan menghidap penyakit anemia atau kekurangan sel darah merah.

“Sepatutnya, kami dapat tamatkan pengajian sama tapi Along tertangguh sedikit disebabkan masalah kesihatan.

“Insya-Allah, Along berazam mahu menamatkan pengajiannya pada hujung tahun ini,” katanya.

Pasangan tersebut mula menjadi perhatian dunia kerana dilahirkan bercantum pada bahagian dada dan punggung pada 1998, sebelum menjalani pembedahan pemisahan di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi, September 2002.

Pembedahan  pemisahan selama 22 jam 45 minit itu dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz yang melibatkan kos RM1.7 juta.

Ia nyata mencipta sejarah apabila pembedahan yang dianggap mustahil pada waktu itu berjalan lancar, dan tidak dinafikan, memberi kehidupan baharu buat mereka. - Getaran, 7 Oktober 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 minggu yang lalu

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

2

Video & Galeri 2 bulan yang lalu

Jom Jalan-Jalan Di Pantai Khobar, Arab Saudi

3

Semasa 2 bulan yang lalu

MEKAR Diaspora JPN Di Arab Saudi Kendali 240 Perkhidmatan Untuk Rakyat Malaysia

4

Sukan 2 bulan yang lalu

Penalti 4 - 2 Bantu Korea Selatan Singkir Arab Saudi

Sorotan

1

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

2

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

3

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

4

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

5

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

6

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 1 hari yang lalu

Sekolah, PIBG Kerjasama Wujudkan Tandas Pintar Bagi Keselesaan Murid