Berita Terkini

8 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Kerjaya Pilihan : Pengurus Artis dan Selebriti

Apakah tugas seorang pengurus artis? Minggu ini kami minta Puan Rozi Binti Abdul Razak, pengurus kepada Dato’ Seri Siti Nurhaliza untuk menjelaskan rangkuman tugasan serta pengalamannya.

Karier Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Jul 2021 7:09PM

Rozi bersama Siti Nurhaliza

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ramai yang sering membaca di media tentang para pengurus artis dan kelibat mereka yang ‘menjaga’ orang yang bergelar artis atau selebriti ternama.

Namun, di sebalik gelaran tersebut, apa sebenarnya tugas serta tanggungjawab mereka? Adakah kerja mereka seperti para pengurus lain di pejabat-pejabat korporat dan kerajaan? Atau adakah ia lebih mudah atau rumit daripada semua itu?

Untuk segmen kerjaya pilihan minggu ini kami menampilkan Puan Rozi Abdul Razak, pengurus kepada Dato’ Seri Siti Nurhaliza untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tugasan seorang pengurus artis (dan selebriti), cara-cara menjadi seorang pengurus serta pengalaman luasnya memegang jawatan tersebut.

1. Bagaimana bermula menjadi pengurus artis?

Berkelulusan STPM selesai tingkatan enam, saya berkesempatan menyambung pelajaran di Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang penulisan sebelum berhenti untuk meneruskan cita-cita sebagai wartawan. 

Saya pernah menjadi wartawan di majalah Variapop, akhbar Era Baru, majalah Remaja dan Utusan Malaysia. Saya memulakan tugas sebagai pengurus artis secara profesional kepada Dato' Seri Siti Nurhaliza selepas melepaskan pekerjaan sebagai wartawan iaitu penghujung tahun 1999.

2. Sudah berapa lama menjadi pengurus artis?

Sudah 22 tahun saya bekerja dengan beliau.

3. Apakah kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang pengurus artis?

Sebagai pengurus artis, selain perlu amanah, bertanggungjawab, peka dengan perkembangan semasa dan memberikan nasihat yang baik kepada artis, di antara ciri lain yang perlu adalah bijak merancang, mengurus, mengarah dan juga mengawal.

4M ini adalah kriteria penting kerana pengurusan dan perancangan yang baik akan membuka ruang dan peluang yang luas kepada artis jagaan mereka. Memberikan arahan supaya artis dapat melaksanakan tugasan yang diberi namun bukan arahan yang tidak berasas.

Mengawal bukan bermaksud mengongkong tetapi memastikan keperibadian artis terjaga, setiap permasalahan atau kontroversi ditangani dengan berhemah.

4. Apakah kebaikan dan keburukan bekerja sebagai pengurus ?

Setiap pekerjaan pasti ada cabaran masing-masing. Sebagai pengurus artis, kita adalah duta kecil kepada artis, setiap tindakan kita harus berada pada landasan yang betul. Jika ada kesilapan atau kelemahan, perkara ini akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik artis kita. 

Selain itu, pekerjaan ini juga memerlukan kita bersedia berhadapan dengan ketidakpuasan hati, kritikan dan sebagainya, minda harus kuat dan tidak boleh mengikut perasaan. Artis adalah public figure dan tentunya kita juga akan terkena tempiasnya.

Bagusnya, pengurus artis dapat menjadi jambatan yang menghubungkan para peminat, media, penganjur, pihak radio dan televisyen serta bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat. Kita dapat bekerjasama dengan ramai pihak dan ini boleh menambahkan kemahiran serta pengetahuan sewaktu berurusan.

5. Apakah pengalaman paling manis dan pahit sepanjang bergelar pengurus artis?

Banyak pengalaman manis dalam kerjaya saya antaranya dapat bersama-sama Dato' Seri Siti Nurhaliza mengadakan konsert di dalam dan di luar negara. Kepuasan melaksanakan tugasan besar dan mencabar ini adalah satu bentuk kebahagiaan buat saya. 

Selain itu, melihat sendiri bagaimana seseorang yang saya temani untuk menghadiri uji bakat Bintang HMI pada tahun 1995, berjaya dan mempunyai prestasi tersendiri hari ini.

Kerjaya seperti saya ada cabarannya juga, namun saya selalu bertoleransi dengan keadaan, situasi dan perkara. 

Saya tidak akan melatah namun akan mendahulukan akal dalam setiap tindakan.

Jika ada sesuatu perkara melanda artis, kita adalah pihak yang akan dicari, mahu ditemu bual atau mendapatkan maklum balas. Waktu ini kita juga dihimpit dilema, berdiam akan dikatakan mengelak atau salah, bersuara akan memburukkan keadaan. Di sinilah perlukan pertimbangan yang bijak.

6. Menurut anda bidang pengajian apa yang diperlukan jika hendak menjadi pengurus artis?

Tugasan sebagai pengurus artis banyak bidang atau skop yang perlu dilakukan. 

Selain berkemahiran dalam bidang pengurusan artis khasnya, latar belakang dalam bidang komunikasi, perhubungan awam, pengurusan perniagaan serta produksi.

Semua ini ada hubung kait namun jika ada jurusan khas tentulah jurusan Pengurusan Artis dan Produksi. Banyak pusat pengajian yang menawarkan kursus ini, khasnya insititusi pengajian tinggi yang mempunyai fakulti seni persembahan dan teknologi kreatif.

7. Pasti ramai yang ingin tahu adakah pendapatan sebagai seorang pengurus artis mencukupi dan berbaloi?

Ada artis yang menggajikan pengurus secara separuh masa, ada juga sepenuh masa. Ada juga artis yang memiliki syarikat untuk menguruskan kerjaya mereka.

Pendapatan seseorang pengurus artis bergantung kepada tiga hal tersebut. Ada yang mendapat komisyen daripada setiap pekerjaan yang diperolehi artis dan ada yang mendapat gaji tetap.

Semakin banyak peluang pekerjaan diperolehi dan semakin stabil seseorang artis atau syarikatnya, semakin lumayan gaji yang dibayar kepada pengurus. Pengurus perlu bertanggungjawab dan rajin mendapatkan peluang pekerjaan (sama ada dalam bentuk persembahan, penampilan khas, kontrak pengiklanan produk dan lain-lain).

8. Pesanan buat mereka yang ingin bekerja sebagai pengurus artis/selebriti.

Menjadi pengurus artis, ibarat bayang-bayang. Meskipun sentiasa ada tetapi tidak harus menonjol diri. Biarlah hasil kerja kita yang terlihat. 

Apa yang penting, perlu rajin merencana, membuat perancangan berterusan, mencari formula kejayaan serta jujur. - Getaran, 14 Jul 2021


Semua gambar: Ihsan Rozi Abdul Razak

Berita Berkaitan

1

Selebriti 1 minggu yang lalu

'Rumah’, Single Terbaharu Daripada Juara Indonesian Idol, Salma Salsabil

2

Selebriti 2 minggu yang lalu

Alyah Duta Jenama Kosmetik Terbaharu TWOMEE 

3

Selebriti 2 minggu yang lalu

The Gadys Akui Koyak Dengan Kecaman Netizen, Tak Berani Baca Setiap Komen

4

Selebriti 2 minggu yang lalu

Aliff Aziz Sekali Lagi Terpalit Kes Khalwat Dengan Pelakon Wanita

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 1 hari yang lalu

NCER Disasar Catat RM367.8 Bilion Pelaburan Direalisasi Menjelang 2030 - PM