Hungary ialah sebuah negara di Eropah Tengah yang dikelilingi daratan. Di sekelilingnya ada negara Slovakia, Austria, Romania, Serbia, Croatia dan Slovenia. Manakala Budapest yang merupakan ibu negara Hungary terdiri daripada dua tempat iaitu 'Buda' serta 'Pest' dan dipisahkan oleh Sungai Danube.
Apa yang menarik di Budapest? Secara umumnya, Budapest merupakan bandar raya yang tenang, dikelilingi bangunan-bangunan lama serta bersejarah.

Bagi mereka yang meminati fotografi atau seni bina, Budapest adalah tempat yang sesuai untuk anda. Masakan tidak, Budapest telah menarik minat pelbagai produksi filem dan drama untuk merakamkan keindahan bandar raya ini. Surga Yang Tak Dirindukan II adalah antara filem serantau yang pernah menjadikan Budapest lokasi penggambaran. Drama bersiri tempatan, 'Anugerah Cinta Aisyah' (ditayangkan di RTM, 2019) juga pernah menjalani penggambaran di sini.
Berkunjung ke Budapest tidak akan lengkap sekiranya tidak ke bangunan Parlimen Hungary. Bangunan tersergam indah di tepi Sungai Danube menarik ribuan pelancong mengabadikan gambar di sini. Baik di poskad, magnet, cawan, baju dan rantai kunci, pastinya bangunan Parlimen ini menjadi subjek utama sebagai lambang cenderahati dari Budapest.

Jambatan-jambatan yang menghubungkan Buda dan Pest juga tidak kurang menariknya. Széchenyi Chain Bridge adalah antara jambatan yang cantik di kota ini seraya menjadi ikon kebanggaannya.
Di hujung jambatan ini ada Buda Hill yang menempatkan Buda Castle dan di sinilah antara lokasi paling sesuai untuk melihat bandar raya Budapest secara keseluruhannya.
Untuk sampai ke atas Buda Hill, disediakan Budapest Castle Hill Funicular, sama seperti kereta kabel Bukit Bendera Pulau Pinang tetapi durasi perjalanan turun naik sangat singkat, sekitar satu minit sahaja. Bagi yang bertenaga, boleh menggunakan laluan tangga menuju ke atas bukit, sekitar 20 minit berjalan sambil menghirup udara segar.
Seterusnya, jangan lupa melawat Hosok Tere (Heroe's Square) iaitu tugu negara Hungary dengan binaan patung-patung pemimpin terdahulu yang mencorak sejarah penubuhan negara tersebut.

Pengangkutan awam di Budapest sangat cekap. Membeli pas pengangkutan adalah cara paling bijak untuk meneroka keindahan ibu kota Hungary ini. Ada banyak jenis pas iaitu 24 jam, 7 hari, 14 hari serta sebulan. Menariknya, pas ini boleh digunakan di semua pengangkutan awam seperti bas, tram serta bot. Rangkaian tram di Budapest menghubungkan semua tempat-tempat menarik, justeru tidaklah sukar untuk menikmati keindahan dan menghayati seni bina bangunan yang pasti mempesonakan.
Sama seperti di bandar utama lain, jenama makanan segera seperti McDonald's, Burger King, Nordsee dan lain-lain memang mudah dijumpai di sini. Namun bagi pengembara Muslim, restoran Turki menjadi pilihan utama untuk mendapatkan makanan halal. Ada beberapa restoran Turki antaranya Szeraj, Titiz serta Antalya yang terletak di tengah-tengah ibu kota ini. Kesemua restoran ini terletak di laluan Tram 2-4 (Szent Istvan Korut) iaitu laluan utama bagi kawasan tumpuan pelancong di Budapest.
Jangan lupa bawa pulang cenderahati yang boleh dibeli di Great Market Hall. Uniknya di sini, tingkat bawah menjual barang basah seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran, rempah-ratus serta buah-buahan. Namun di tingkat atas, seperti syurga membeli-belah kepada pelancong, khususnya yang ingin membeli cenderahati serta buah tangan buat yang tersayang. Tahukah anda bahawa kotak kayu dengan kunci tersembunyi adalah objek ciptaan tradisional orang Hungary. Begitu juga dengan susun pasang gambar atau jigsaw puzzle berasaskan kayu. Paprika juga banyak dijual sebagai salah satu souvenir wajib ketika berkunjung ke Hungary.
Bagi pengumpul koleksi barangan Hard Rock Cafe, hanya perlu menyeberangi jalan berhadapan Great Market Hall menuju ke Vacii Utca, juga kawasan tumpuan pelancong, untuk membeli cenderahati di situ.
Semoga dunia segera pulih daripada pandemik yang membelenggu ini, agar sang pengembara kembali mengembangkan sayap, menjelajah ke segenap pelosok kota, menikmati setiap detik pengalaman di tanah asing. - Getaran, 18 Februari 2021
Semua gambar: Bob Faizeli