Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini berlangsung di semua negeri, kecuali Sarawak bagi mengawal penularan virus COVID-19 yang kian meningkat. Dalam tempoh ‘berkurung’ ini, pergerakan kita cukup terbatas dan anda hanya boleh melakukan perjalanan dalam jarak 10 kilometer dari rumah.
Usah khuatir dan jangan panik. Mari kita sama-sama melangkah ke hadapan dan duduk di rumah! Ingat, pengorbanan kita hari ini adalah untuk masa depan yang lebih terjamin! Memang benar situasi semasa ini menyesakkan fikiran dan tidak mustahil ramai mula tertekan.
Berikut adalah 20 idea aktiviti yang disenaraikan oleh Pejabat Pelancongan Selangor (Tourism Selangor) untuk anda dan anak-anak lakukan di rumah sepanjang tempoh PKP.
1) Keluarkan papan permainan anda.
2) Buat diari untuk mencatat aktiviti harian anda sekeluarga.
3) Jom buat kek atau biskut! Mana tahu, jika ia enak, anda mungkin boleh menjana pendapatan baharu.

4) Belajar dan cari masa untuk buat penyediaan makanan awal. Ini adalah sangat berguna bagi yang perlu bekerja dari rumah kerana ia menjimatkan masa apabila perlu menyediakan makan tengah hari.
5) Adakan malam menonton filem. Setiap malam, seorang ahli keluarga anda boleh memilih satu filem untuk ditonton.
6) Jika anda sebelum ini tidak pernah amalkan senaman di rumah, ayuh mulakan sekarang.
7) Lakukan countdown dan perkara-perkara yang produktif bagi hari-hari yang akan datang.
8) Bantu anak-anak anda dengan kerja sekolah mereka.
9) Berteka-teki atau bina sesuatu daripada bahan-bahan Lego.
10) Buat satu senarai destinasi pelancongan di Selangor yang anda ingin lawati.
11) Kemas rumah. Asingkan barangan yang tidak lagi digunakan dan boleh dermakan kepada badan-badan kebajikan sekiranya ia masih elok.
12) Lakukan kerja-kerja rumah bersama ahli keluarga.
13) Tukar dekorasi rumah anda.
14) Berkelah atau berkhemah di halaman rumah.
15) Buat panggilan video bersama rakan-rakan atau saudara-mara anda! Penjarakan sosial tidak bermakna anda langsung tidak bersosial.

16) Rancang percutian keluarga anda di Selangor setelah situasi semakin pulih.
17) Mulakan aktiviti berkebun di rumah.
18) Buat atau rakam filem pendek tentang aktiviti yang anda sekeluarga lakukan sepanjang PKP.
19) Lukis atau buat satu peta tentang tempat-tempat yang ingin anda lawati setelah tamat tempoh PKP ini.
20) Jom karaoke di hujung minggu!
Lakukan aktiviti-aktiviti ini bagi mengisi masa lapang di rumah sepanjang melalui tempoh sukar ini. Dengan ini, anda sekeluarga boleh menghindari diri dari rasa jemu dan juga keinginan untuk keluar bersiar-siar. Inilah peluang mencipta masa berkualiti bersama insan-insan tersayang.

Bagaimanapun, jika anda merasa tidak sihat dan memerlukan perhatian perubatan, kami nasihatkan anda terus ke pusat perubatan atau hospital terdekat bagi melakukan saringan.
Berikut senarai 10 pusat perubatan di Selangor yang boleh dikunjungi:
1) KPJ Damansara Specialist Hospital
2) Sunway Specialist Centre Damansara
3) The Tun Hussein Onn National Eye Hospital
4) Avisena Specialist Hospital
5) Columbia Asia Hospital Bukit Rimau
6) Ara Damansara Medical Centre
7) Sunway Medical Centre
8) KPJ KLang Specialist Centre
9) Subang Jaya Medical Centre
10) Assunta Hospital
Peka dengan persekitaran dan kesihatan anda sekeluarga. Jika anda terdedah dengan pesakit atau tempat penularan COVID-19, mengalami gejala selsema, batuk, kesukaran untuk bernafas dan mengalami demam lebih dari suhu 37.5°, sila ambil inisiatif untuk kuarantinkan diri di rumah.
Seterusnya buat panggilan ke Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-88810200, 03-88810600 atau 03-88810700 untuk dapatkan nasihat dan maklum balas untuk langkah seterusnya. Jangan terus ke klinik berhampiran kerana anda boleh menyebarkan virus kepada orang di sekeliling.
Berhati-hati dan duduk di rumah. Anda boleh selamatkan diri anda dan orang lain. Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel - Getaran, 27 Januari 2021