Cuba anda imbas kembali, bila kali terakhir anda menonton filem di pawagam? Pasti sudah terlalu lama bukan? Apa tidaknya, sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) diumumkan pada Mac 2020, pawagam di seluruh negara mula melalui episod duka. Operasi mereka terpaksa dihentikan demi memastikan penularan COVID-19 boleh dibendung.
Bagi penggemar filem tempatan mahupun luar negara, penutupan pawagam sudah pasti menimbulkan rasa kurang seronok. Tiada lagi aktiviti hujung minggu yang menyeronokkan bersama teman-teman, tiada lagi tempat untuk bertemu janji dengan si dia, dan tiada lagi filem-filem terbaru yang boleh ditonton dengan pengalaman audio hebat.
Tidak mengapalah, norma baharu perlu diadaptasikan. Lagipun sekarang ini semuanya di hujung jari. Ada pelbagai platform untuk mengakses filem-filem pilihan anda. Jadi, duduk di rumah diam-diam, tonton apa yang berkenan di hati. Jika tidak punya idea , GETARAN senaraikan di sini:
Filem: The Midnight Sky
Pelakon: George Clooney, Felicity Jones, Sophie Rundle, Kyle Chandler
Filem ini diadaptasi daripada novel Good Morning, Midnight, tulisan Lily Brooks-Dalton dan diterbitkan pada 2016. Filem lakonan dan arahan George Clooney ini membawa penonton terbang ke akhir zaman, di mana Bumi nazak akibat pencemaran sehingga tidak selamat lagi untuk didiami. Ekoran itu, manusia terpaksa mencari planet lain untuk dijadikan tempat tinggal.
Namun, Agustine, seorang saintis berdegil tidak mahu berhijrah dan terus tinggal di Artic Circle seorang diri untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Sudahlah begitu, dia juga diserang penyakit yang boleh membawa maut. Dalam masa yang sama, dia cuba berhubung dengan kapal angkasa, Aether yang dalam perjalanan pulang ke bumi selepas menemui planet baharu untuk didiami oleh manusia.
Banyak konflik yang timbul, dan anda perlu beri perhatian untuk memahami keseluruhan cerita. Biarpun ulasan-ulasan di dalam talian tidak memberangsangkan, tapi banyak mesej yang boleh anda pelajari menerusi filem ini.

Filem : Toko Barang Mantan
Pelakon : Reza Rahadian, Marsha Timothy, Iedil Dzuhrie Alaudin, Syifa Hadju, Niken Anjani, Stella Cornelia, Shareefa Daanish
Peminat filem Indonesia, khususnya peminat Reza Rahadian, jangan ketinggalan menyaksikan filem ini. Berdurasi sekitar 1 jam 37 minit, ia pasti membuatkan anda tersenyum sendiri. Banyak saat-saat manis yang membawa anda mengimbas kembali perjalanan ketika masih kuliah.
Toko Barang Mantan mengisahkan tentang Tristan, mahasiswa yang tidak dapat menamatkan pengajiannya di universiti kerana tidak berjaya menyiapkan tesis. Oleh kerana pengajiannya asyik tertangguh, Tristan sibuk berbisnes secara kecil-kecilan dengan mengusahakan Toko Barang Mantan.
Namun, suatu hari, mantan kekasihnya ketika di universiti, Laras (Marsha Timothy), datang ke kedainya untuk menjual cincin pertunangan. Dunia lantas menjadi tunggang-terbalik buat Tristan. Bermula saat itu, dia menghadapi dilema yang tidak pernah dibayangkan sepanjang hidupnya.
Laras (Marsha Timothy) hadir bersama segunung kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh Tristan. Bezanya, Laras sudah beranjak ke fasa berikutnya, sementara Tristan masih tidak ke mana-mana.

Filem : 99 Nama Cinta
Pelakon: Acha Septriasa, Deva Mahenra, Chiki Fawzi, Adinda Thomas, Susan Sameh, Robby Purba
Sudah rindu dengan kelibat Acha Septriasa? Filem ini boleh mengubat kerinduan anda. Menemui peminat pada penghujung 2019 lalu, filem yang diarahkan oleh Garin Nugroho ini mampu mengusik hati sesiapa sahaja. Ia adalah tentang hati, kasih kepada Sang Pencipta dan cinta sesama manusia.
Mengisahkan tentang Talia, seorang hos merangkap penerbit program gosip yang sedang meraih populariti. Ketika banyak mata sedang tertumpu kepadanya, Talia didatangi oleh teman yang dikenali ketika masih kecil, Kiblat.
Kiblat seorang ustaz mahu memberikan didikan agama kepada Talia kerana ingin menunaikan permintaan arwah ayah Talia sebelum dia meninggal. Plot cerita bertambah menarik apabila karier Talia mula bermasalah setelah beberapa beberapa kesilapan kecil dalam tugasannya. Talia tewas dan populariti merudum. Talia patah hati, namun Kiblat membantu Talia untuk bangkit.
Getaran cinta mula dirasai oleh Talia, namun ada halangannya. Kiblat akan dijodohkan dengan Husna, seorang pengajar baru di sekolah pondok milik keluarga Kiblat. Apakah yang sanggup dilakukan oleh Talia demi cinta?

Filem : Lost Girls
Pelakon : Amy Ryan, Gabriel Byrne, Thomasin McKenzie
Berdasarkan kisah benar, filem yang diarahkan oleh Liz Garbus ini berkisar tentang pembunuhan pekerja seks wanita muda di South Shore, Long Island, New York. Sehingga kini identiti pembunuh bersiri ini masih tidak diketahui.
Saksikan keazaman seorang ibu untuk mencari jawapan kepada kehilangan anak sulungnya. Biarpun pencariannya seakan-akan tidak mendapat kerjasama daripada pihak polis dan penduduk setempat, si ibu tidak pernah putus asa. Malah, dia turut memberi kata-kata semangat kepada ibu-ibu lain supaya tidak mengalah mencari jawapan pasti.
Biarpun pun plotnya agak perlahan, namun filem ini berjaya memancing penonton menunggu hingga ke akhirnya kerana ingin tahu kesudahannya. Jika anda suka dengan filem berunsur jenayah dan misteri, Lost Girls memang pilihan yang baik.

Filem : Geran
Pelakon : Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng
Jika anda belum pernah menyaksikan filem yang meraih Anugerah Daniel A.Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 ini, mungkin inilah masa yang sesuai. Saksikan sendiri hasil garapan pengarah muda, Areel Abu Bakar yang berjaya mengangkat silat ke pentas antarabangsa.
Menggunakan loghat utara hampir 90 peratus, filem yang mulanya dipandang sinis oleh peminat filem Melayu ini berjaya mempamerkan sebuah filem ‘Malaysia’ yang betul-betul dekat di hati.
Geran mengisahkan tentang sebuah keluarga pesilat yang mempertahankan maruah dan tanah rumah mereka daripada tergadai selepas adik mereka menghilangkan diri dan menggadai geran tanah itu kepada lintah darat kerana gila judi. - Getaran, 9 Februari 2021
