Drama terbaharu Netflix, ‘Move to Heaven’ mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Han Geu-Ru yang menghidapi sindrom Asperger bekerja bersama dengan bapanya sebagai ‘Pembersih/Pembuang Trauma’ yang dikenali sebagai ‘Move To Heaven’.
Mereka menyediakan perkhidmatan untuk membersihkan barangan orang yang telah meninggal dunia dan memulangkan barang-barang yang berharga mendiang kepada orang yang terdekat dengan mendiang.

Diinspirasikan dari artikel bukan fiksyen ‘Things Left Behind’ oleh Kim Sae-Byul, seorang bekas ‘pembuang trauma’ di Korea Selatan. ‘Move to Heaven’ membawa penonton untuk menyelami kisah-kisah kehidupan si mati melalui barang tinggalan mereka.
Selepas ayah Geu-Ru meninggal, Geu-Ru bersama-sama pakciknya, Cho Sang-Gu meneruskan perkhidmatan ‘Move to Heaven.’

Kisah dalam setiap episod memfokuskan kepada perkhidmatan ‘Move To Heaven’ yang menjadi medium perantaraan untuk mesej dan hajat mendiang semasa hidup kepada orang yang tersayang yang tidak kesampaian.
Seperti yang dikatakan oleh si ayah kepada Han Geu-Ru, “Setiap tinggalan barang ini ada kisahnya tersendiri”.


Drama ini banyak mengupas isu-isu penting yang berlaku tapi dipandang remeh di Korea Selatan.
Sebagai contoh, isu adopsi antarabangsa yang melibatkan anak yatim di Korea dihantar ke luar negara, di mana segelintir daripada mereka bernasib malang disisih oleh keluarga angkat sendiri seawal usia remaja. Ini membuatkan kebajikan mereka tidak terjaga di luar negara mahupun di negara kelahiran.


Kisah ini digambarkan dalam episod ke-9 drama ini di mana seorang pemuda Korea Selatan dari US bernama Matthew Green yang pulang ke negara kelahirannya untuk mencari ibu kandungnya yang terpisah sejak kecil kerana dia dihantar ke luar negara.
Pujian harus diberikan kepada barisan pelakon utama ‘Move to Heaven’, iaitu Tan Jun-Sang sebagai Han Geu-Ru, seorang remaja dengan sindrom Asperger.

Dikenali sebagai askar Korea Utara termuda di dalam drama ‘Crash Landing on You’, pelakon berdarah kacukan Korea Selatan-Malaysia ini diberi kepercayaan membawa watak seorang ‘autisme’ yang mempunyai kesukaran berinteraksi dengan khalayak ramai dan kemahiran sosial yang sangat rendah.
Bakat lakonan Lee Je-Hoon sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Dengan membawa watak sebagai Cho Sang-Gu, bapa saudara kepada Han Geu-ru, beliau dikatakan berjaya menonjolkan sisi lain dirinya sebagai pelakon yang versatil.

Cho Sang-gu merupakan seorang bekas banduan yang diwasiatkan untuk menjadi penjaga kepada Geu-Ru setelah kematian bapanya.
Drama air mata 10 episod ini sarat dengan elemen-elemen kekeluargaan dan hubungan sesama masyarakat yang boleh ditonton oleh seisi keluarga.
Para penonton dinasihatkan untuk menyediakan tisu yang cukup ketika menonton drama ini, terutamanya sekali di episod akhir yang sangat menyayat hati. Selamat menonton! – Getaran, 25 Mei 2021
Semua gambar: Ihsan Netflix Malaysia