Percubaan Nabil Ahmad menghasilkan siri mini animasi, 'Lu Pikir La, Nabil!' tentang kisah diri dan zaman kanak-kanaknya sewaktu membesar di kampung kelahirannya di Kampung Kayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan pada hujung tahun lalu telah mendapat sambutan yang cukup baik daripada peminat-peminat dunia hiburan.
Apatah lagi bila siri mini animasi itu turut mengekalkan dialek Negeri Sembilan yang cukup pekat serta mengetengahkan kawan-kawan karib Nabil sejak kecil iaitu Shahril Fahmey dan Haefizul Yusof untuk membuat alih suara bagi watak Mok dan Fahmi.
Ia secara tidak langsung telah membangkitkan semangat buat Nabil untuk meneruskan kesinambungan siri mini animasi ini bagi musim kedua, 'Lu Pikir La Nabil, TuuDeh…!,' sempena tayangan Ramadan raya.
Nabil Ahmad berkata, dia cuba mengangkat pepatah ‘berani kerana benar, takut kerana salah’ dalam musim baharu 'Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!' untuk menyampaikan mesej bahawa dalam apa situasi pun kebenaran akan terungkap.
“Lebih kurang begitulah mesej yang saya ingin terapkan kepada penonton. Tiada apa yang terlalu serius. Ini juga sebenarnya adalah untuk keseronokan dan hiburan sahaja.
“Selain itu, saya memilih untuk menghasilkan animasi ini kerana ingin mencari kelainan. Saya mahu jadi selebriti pertama yang mempunyai animasi tersendiri. Kalau saya buat filem pendek atau rancangan realiti, itu sudah agak biasa.
“Jika kita mahu mengikut dunia digital pada zaman sekarang ini, sudah terlalu banyak animasi dan kartun-kartun yang dikeluarkan dari segi penceritaan yang moden tetapi tidak ramai selebriti-selebriti yang mendapat peluang untuk membuat animasi berdasarkan kehidupan mereka sendiri.
“Oleh itu, saya sangat teruja dan bersyukur diberi peluang oleh Astro sendiri untuk menjadi selebriti pertama yang menghasilkan animasi sendiri. Saya harap suatu hari nanti ia akan dapat ditayangkan di seluruh pawagam tanah air serta di Astro First,” katanya.
Siri mini animasi musim kedua, ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’ ini adalah terbitan Astro dan Ed Online Technologies Sdn Bhd bersama Nabil sendiri. Bahkan, idea asalnya dan alih suara bagi watak Nabil dizahirkan sendiri pelawak serta penyampai TV terkemuka ini.
Animasi bergenre komedi keluarga yang diarahkan juru animasi berpengalaman, Syukur Majid ini juga masih mengekalkan rakan baik Nabil iaitu Shahril Fahmey dan Haefizul Yusof untuk membuat alih suara serta menampilkan pelakon baharu yang sedang meningkat naik, Amanady Amry.
Nabil dan Waris juga turut berganding bahu untuk menghasilkan lagu tema dan video muzik lagu Raya, ‘TuuDeh Rayo!’ sempena siri animasi kali ini.
Selaku pengarah siri mini animasi, Syukur Majid berkata, pada musim baharu kali ini, dia bersama pasukannya telah melanjutkan durasi animasi ini daripada empat minit kepada tujuh minit.
“Ramai yang menyuarakan rasa tidak puas menonton musim pertamanya yang berdurasi pendek, 4 minit.
“Jadi, kami panjangkan sedikit durasinya dan memilih 7 minit kerana ianya antara durasi yang sesuai untuk tayangan televisyen dan memudahkan kami bekerja dengan tempoh masa yang diberikan.
“Dari sudut penceritaan pula, pelbagai konflik dan drama berlaku kepada Nabil, rakan-rakannya dan orang kampung ketika menyambut bulan Ramadan dan Syawal.
“Ditambah pula dengan kemunculan watak baharu yang mengubah dimensi penceritaannya. Selain itu, animasi ini juga diterbitkan dengan penuh pengisian yang mampu memberi teladan kepada penonton,” katanya.
Jelas Syukur lagi, walaupun, siri mini animasi ini mencampur adukkan kisah sebenar hidup Nabil Ahmad pada zaman kanak-kanaknya sekitar tahun awal 90an, namun mereka turut cuba menggabungkan dengan permasalahan di zaman kini agar ia mudah diterima penonton.
“Apa yang pasti, kesemua elemen-elemen yang menggelikan hati dan menghiburkan penonton masih dikekalkan dalam siri mini animasi ini.
“Kami harap, selepas ini pihak Astro akan dapat memberi peluang lagi kepada kami untuk meneruskan produksi animasi 'Lu Pikir La Nabil' ini dalam format yang lebih panjang di masa akan datang,” katanya.
Siri mini 'Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!' mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak bernama Nabil di kampungnya menjelang bulan Ramadan. Nabil diuji dengan pelbagai masalah setelah berlaku salah faham di antara orang kampung dan dirinya apabila dia mencari kucingnya, Piah yang hilang.
Kehadiran budak baharu bernama Syasya turut menggugat persahabatan Nabil dengan kawan-kawannya apabila dia dituduh sebagai penyebab pelanggan murtabak Pak Abu mendapat keracunan makanan. Dia sekali lagi difitnah dan dituduh ponteng puasa apabila dia berada di tempat dan masa yang salah.
Akibatnya orang kampung mula pandang sinis terhadap dia dan keluarganya. Raya menjelma tetapi Nabil masih bergaduh dengan kawan-kawan dan keluarganya dipulaukan. Namun Syasya menjumpai bukti yang menunjukkan Nabil sebenarnya disabotaj dan sekaligus membersihkan nama Nabil. Adakah Nabil dan kawan-kawannya akan berbaik semula dan beraya bersama?
Siri mini animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’ musim kedua ditayangkan di saluran Astro Warna, setiap Khamis, mulai 7 April 2022, dan ulangan di saluran Astro Ceria HD, setiap Ahad, jam 3.00 petang. - Getaran, 13 April 2022
Gambar: Astro