Filem terbaharu, Proksi mempersembahkan gandingan mantap barisan pelakon hebat Malaysia, Bront Palarae, Allahyarham Ashraf Sinclair, Remy Ishak, Sangeeta Krishnasamy, Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Siti Saleha, Susan Lankester dan adik Adrianna Qasmia yang pasti mampu memberi kepuasan berbeza kepada penonton!
Filem yang mengangkat genre yang jarang sekali diketengahkan dalam filem-filem tempatan, iaitu ‘cyber thriller’ bakal menemui penonton bermula 18 November 2021, di Astro First, saluran 480.

Lebih menarik, penonton dapat menyaksikan sisi berbeza pelakon menerusi watak masing-masing. Sangeeta Krishnasamy misalnya mempertaruhkan kehebatannya buat pertama kali menerusi watak penuh aksi dan Remy Ishak tampil sebagai antagonis.
Manakala, ini merupakan kemunculan pertama Bront Palarae dan Allahyarham Ashraf Sinclair menggerakkan babak ‘bromance’.

Naratifnya bakal membawa penonton menyelami dunia penggodam (hacker). Proksi menumpukan isu yang sememangnya berlaku iaitu serangan penggodam atau ‘cyber crime’ melalui berita palsu. Kemudian, jalan ceritanya diperhebatkan lagi dengan adegan aksi yang mampu membuat penonton tidak senang duduk.
Selain itu, filem terbitan FEG Equipment ini telah menjalani sesi penggambaran di Malaysia dan Thailand. Latar lokasi menarik di kedua-dua negara turut menjadi salah satu kekuatan filem tersebut di samping jalan cerita segar dan lakonan yang meninggalkan kesan.
Proksi mengisahkan tentang penggodam elit, Sam (Bront Palarae) bersama rakannya, Aman (Allahyarham Ashraf Sinclair) yang telah melarikan diri ke Bangkok.
Tanpa pengetahuan Sam, Aman menggodam ‘platform keselamatan data’ yang dikenali sebagai MYSOIL dan bekerjasama dengan Elle (Sangeeta Krishnasamy) untuk menjual data tersebut kepada kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai CARRIE di Bangkok. Dalam masa yang sama, Aman mencuri wang CARRIE.
Seorang tentera upahan bernama Aqil (Remy Ishak) cuba mengesan dan mendapatkan kembali wang tersebut. Sam pula telah ditangkap dan disoal siasat oleh dua penyiasat, Roy (Faizal Hussein) dan Remy (Datuk Rosyam Nor).

Sam berusaha mencari dalang sebenar di sebalik manipulasi data dan penyebaran ‘berita palsu’ yang mampu membahayakan negara.
Jangan lupa saksikan filem padat dengan aksi ini yang akan ditayangkan di Astro First bermula 18 November 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (dua hari) secara berulang-ulang. Ikuti informasi terkini dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw. - Getaran, 16 November 2021
Foto : Astro Shaw