Berita Terkini

6 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Belajarlah Dari Korea! Bagaimana BTS, 'Squid Game' Takluk Dunia

Inilah yang disebut Korean Wave iaitu istilah yang diberikan kepada demam budaya K-pop yang melanda masyarakat global.

Filem & TV Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Oct 2021 1:42PM

Gambar: @bts.bighitofficial dan Netflix

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Penulis tidak pasti apa yang berada dalam fikiran seorang senator sehingga mengatakan drama Korea adalah penyebab peningkatan kes bunuh diri  dalam kalangan remaja semasa perbahasan di Dewan Negara baru-baru ini. Semasa beliau mengatakan itu, tidak ada pula dibentangkan data atau kajian saintifik untuk menyokong hujah berkenaan. 

Ini bukan kali pertama kita meletakkan beban masalah yang ditanggung masyarakat dalam negara ini berpunca daripada drama dan filem negara asing. Sebelum ini, drama Indonesia 'Bawang Merah Bawang Putih' juga pernah menerima nasib serupa. 

Daripada menuding jari, apa kata kita duduk sekejap dan bermuhasabah memikirkan bagaimana  industri perfileman dan hiburan negara luar, Korea Selatan khususnya boleh meledak belakangan ini sehingga mencuri perhatian Hollywood serta seantero dunia.

Inilah yang disebut Korean Wave iaitu istilah yang diberikan kepada demam budaya K-pop yang melanda masyarakat global.

Seorang profesor yang juga merupakan ketua Jabatan Teater dan Pengajian Persembahan di sekolah teater, filem dan televisyen Universiti California, Suh Young Kim baru-baru ini ada berkongsi  beberapa kunci bagaimana industri perfileman dan muzik Korea begitu berpengaruh pada hari ini. 

Kerajaan lambat percaya 

Menurut Young Kim, pada asalnya kerajaan Korea tidak  begitu yakin terhadap industri hiburan mereka sehinggalah drama 'Winter Sonata' membuktikan sebaliknya. Drama tersebut meledak di Jepun, Cina, Taiwan dan negara Asia menyebabkan Korea menjadi model budaya dan ekonomi untuk diikuti.

Pada asalnya, industri hiburan mereka banyak dibantu oleh sektor swasta seperti syarikat Snowbox, Hybe dan SM Town yang memang mempunyai kewangan kukuh. 

Namun, kejayaan demi kejayaan produk industri hiburan mereka membuatkan kerajaan tidak menoleh ke belakang  apabila terus mewujudkan Korea Creative Content Agency (KOCCA) pada 2009 untuk memastikan industri hiburan Korea adalah antara lima negara paling berpengaruh di dunia.

Pada waktu itu, ramai yang merasakan visi dan misi itu mustahil untuk dicapai. Kini, tidak lagi.

Ada dua sumbangan besar yang dilakukan kerajaan Korea kepada pengaruh K-pop, pertama mewujudkan KOCCA yang menyediakan kajian kepada pembuat kandungan, menyediakan khidmat nasihat oleh ahli akademik dan mengkaji data trend media semasa.

Menteri kebudayaan mereka juga selalu mencari jalan untuk membuka lebih banyak jaringan agar boleh berhubung dengan kandungan antarabangsa.

Gambar: Kocca.com
Gambar: Kocca.com

Kedua, kerajaan mereka menyediakan perkhidmaan jaringan internet berkualiti tinggi dengan harga murah untuk memastikan sesiapa yang berada di negara itu dapat melayari kandungan industri hiburan mereka bila-bila masa sahaja.

BTS digilai ramai

Bulletproof Boy Scouts atau BTS telah mencipta fenomena baharu apabila ia menjadi sebuah sensasi baru dunia termasuklah Amerika Syarikat. Mereka mula mendominasi carta muzik Amerika apabila menjadi satu-satunya band Korea Selatan dalam sejarah carta Billboard serta berkolaborasi dengan nama besar seperti Ed Sheeran, Coldplay, Halsey dan ramai lagi. 

Mereka juga dianugerahkan Guinness World Record kerana mempunyai peminat yang ramai. Lagu 'Butter' memperoleh 60 juta tontonan hanya dalam masa 12 jam dimuat naik di YouTube. Lagunya menduduki tempat pertama dalam carta Billboard 100.

Gambar: Wikipedia
Gambar: Wikipedia

BTS sangat menonjol kerana mereka menjaga segala aspek termasuk visual, penulisan lagu, tarian serta fesyen. Bukan itu sahaja, mereka berjaya membuatkan generasi baharu percaya bahawa mereka adalah wakil kepada generasi muda di luar sana.

“Apabila para peminat ingin menyukai seorang artis, mereka boleh diibaratkan seperti pengguna sebuah produk makanan. Jadi, mereka akan ambil berat bagaimana sesuatu makanan itu dihasilkan.

“Begitu juga hiburan, mereka akan lihat adakah artis yang mereka minati ini baik atau tidak. BTS berkali-kali kita lihat muncul di perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu dan bercakap tentang isu sosial seperti COVID-19. Mereka tak hanya bernyanyi malah membawa isu kepada masyarakat,” jelas Young Kim.

BTS berjaya mencuri perhatian dunia walaupun ada banyak band lahir di Korea. Kuncinya adalah BTS terbuka mengikut strategi artis antarabangsa yang bijak menggunakan media sosial seperti YouTube, Twitter dan Instagram untuk berhubung dengan peminat selain melakukan siri jelajah.

Pendek kata, mereka sangat dekat dengan peminat luar Korea. Ini berbeza dengan kebanyakkan artis Korea hanya menggunakan akaun media sosial yang terkenal di Korea sahaja. Mereka juga tidak hanya menjual lagu, malah  turut menjaga persahabatan hingga peminat terasa dekat. 

Squid Game

Drama bersiri Netflix 'Squid Game' menjadi fenomena apabila naskhah itu mendapat jumlah tontonan paling tinggi sepanjang platform itu beroperasi. Ia juga menduduki tangga pertama di beberapa negara termasuklah Amerika. Ia turut ditonton para selebriti Hollywood.

Industri seni Korea Selatan sangat mementingkan setiap naskhah yang ingin dihasilkan. Ada beberapa kunci yang membuatkan sesuatu karya itu viral iaitu ia mestilah boleh diceritakan kembali, memiliki nilai yang boleh dikaitkan dengan penonton, juga visual yang ditampilkan.

Korea juga menekankan budaya dalam karyanya seperti siri 'Squid Game' yang menceritakan tentang permainan tradisional negara itu di samping membawakan tema krisis ekonomi dan kemiskinan yang dihadapi ramai orang. 

Gambar: Netflix
Gambar: Netflix

Drama itu turut menekankan aspek kekeluargaan di sebalik naratif thriller yang ditampilkan. Ini kerana, orang Asia dan semangat kekeluargaan tidak boleh dipisahkan. Kejayaan drama ini juga terhasil kerana Netflix menyediakan alih suara juga sari kata agar boleh sampai kepada lebih ramai khalayak.

Jika anda perhatikan, sutradara 'Squid Game', Hwang Dong-hyuk sangat teliti dari segi visual. Setiap warna dan juga kedudukan watak ada peranan tersendiri. Set yang dihasilkan juga bukan calang-calang. Ini kerana bagi mereka, visual adalah segala-galanya.

Kocca dan Netflix

Bekerjasama dengan Netflix yang platformnya mencapah secara global adalah strategi terbaik Korea Selatan. Memandangkan Kocca mengkaji perubahan trend semasa dalam media, maka mereka boleh menjangkakan Netflix bakal meledak. Maka, karya mereka memang difokuskan kepada platform tersebut.

Netflix pula menyediakan konsep prepaid, iaitu mereka akan menerima bayaran awal untuk penggambaran. Jika penggambaran selesai, ia akan ditayangkan dan produksi tidak perlu risau memikirkan untung rugi sesebuah karya.

Kini, selain muzik dan lakon layar, Korea perlahan-lahan memindahkan pengguna media sosial yang dihasilkan barat (Facebook, Instagram, Twitter) kepada media sosial yang dihasilkan rakyat Korea seperti Naver yang mempunyai peranan sama. 

Mereka mahu menarik pengguna antarabangsa agar menggunakan platform mereka dengan menawarkan konten eksklusif selebriti terkenal Korea yang tak boleh didapati di platform lain.

Gambar: Naver
Gambar: Naver

Bayangkan betapa banyaknya industri hiburan mereka menyumbang kepada kemajuan ekonomi Korea Selatan. Ia termasuklah pelancongan, makanan, fesyen dan produk kecantikan negara itu. 

Daripada membincangkan rancangan Korea yang dianggap boleh buat 'orang jadi jahat' tanpa sokongan data kajian, mungkin kita boleh alihkan perbincangan kepada modul apakah yang kita boleh gunakan agar industri tempatan boleh berkembang?

Apa yang ingin kita lakukan? Budaya masyarakat kita yang mana satu boleh ditonjolkan di mata dunia? Perbincangan sebegini sudah semestinya mampu menghasilkan idea-idea baru yang mendatangkan keuntungan buat negara kita daripada sekadar menyalahkan produk negara lain tetapi malas untuk belajar apa-apa daripada mereka. - Getaran, 21 Oktober 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Utamakan Pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Di Pedalaman Sabah - Senator

2

Video & Galeri 1 bulan yang lalu

Kesian Dia, Semoga Cepat Dapat Rawatan...

3

Kisah Kita 2 bulan yang lalu

Fikir Bunuh Diri Seawal Usia 11 Tahun, Senario Serius Harus Dicantas Sebelum Bertunas

4

Selebriti 3 bulan yang lalu

Pelakon Korea, Lee Sun Kyun Ditemui Mati Di Tengah-Tengah Siasatan Dadah

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

Disyorkan untuk anda

Selebriti 1 hari yang lalu

Industri Hiburan Penghubung Antara Malaysia Dan China – Shila Amzah

Selebriti 1 hari yang lalu

Skandal Baharu Aliff Aziz Terbongkar, ‘Ibu Terpaling’ Padam IG?

Sejak kes kecurangan anak lelakinya terbongkar, ibu kepada Aliff Aziz ini lantang mempertahankan anaknya, termasuk di media sosial

oleh Wartawan Hiburan Getaran

Selebriti 21 jam yang lalu

Siti Saleha Berjaya Takluki Puncak Gunung Kinabalu

Pelakon jelita berkenaan berkongsi kejayaannya itu di akaun media sosial miliknya

oleh Wartawan Hiburan Getaran

Filem & TV 1 hari yang lalu

Selepas Papar Sisi Gelap PDRM, Netizen Mahu Syafiq Buat Filem SPRM, JPJ 

oleh Helmi Anuar