Pelakon Mubarak Majid, 66, telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem pendek Coofie & Sexy Dress terbitan Buffalo Orange Pictures Sdn Bhd di Motion Horse International Film Festival (MHIFF) 2022 yang diadakan di India baru-baru ini.
Mengulas tentang kemenangannya di dalam kategori utama tersebut, Mubarak Majid ketika diwawancara berkata, dia berasa bangga dengan penghargaan yang diterimanya menerusi filem pendek berkenaan.

“Malah, ini juga satu pengiktirafan buat semua yang terlibat di dalam bidang seni ini selama ini,” katanya dengan nada yang merendah diri.
Mubarak yang mula menceburi dunia seni dalam bidang pementasan teater pada era 70-an berkata, inilah adalah penghargaan pertama yang diraihnya dalam bidang lakonan.
“Sebelum ini, saya sudah banyak kali tercalon dalam beberapa anugerah yang diadakan di dalam negara sendiri tetapi tidak pernah menang.
“Namun, saya tidak pernah kecil hati walaupun tidak pernah menang di negara sendiri. Sebab lakonan bukan kita yang menilai.
“Sebagai pelakon kita hanya mampu buat yang terbaik menerusi setiap watak dan peranan yang diberikan,” katanya.
Bercerita tentang penglibatannya di dalam filem pendek Coofie & Sexy Dress, Mubarak berkata, dia memegang watak sebagai bapa kepada seorang model.

“Ia mengisahkan kehidupan keluarga yang susah. Isteri jatuh sakit dan anak perempuannya kemudian membantu mencari wang dengan bekerja sebagai model.
“Namun, bapanya salah sangka dan menganggap dia melakukan kerja-kerja yang tidak elok. Bapanya tidak tahu dia membantu keluarga dari sudut kewangan. Itu yang tajuknya ada perkataan Sexy Dress,” katanya lagi.
Jelas Mubarak lagi, filem Coofie & Sexy Dress ini tidak pernah lagi ditayangkan di Malaysia dan hanya dibawa ke luar negara.
“Tetapi sekarang ini, ia sudah pun boleh ditonton menerusi YouTube,” katanya.
Biarpun gembira dengan kemenangan tersebut, Mubarak mengakui bahawa dia masih belum menerima sijil kemenangannya itu daripada pihak produksi.
“Saya tahu kemenangan ini pun daripada mereka,” katanya lagi.
Mubarak yang bergiat aktif dalam bidang teater dan lakonan daram TV dan filem pernah menjadi kakitangan di Kompleks Budaya Negara (KBN) dan bersara pada 1997.
Dia juga turut terpilih sebagai penerima sijil tenaga pengajar dan penggiat industri di majlis Konvokesyen Badan Peneraju Seni Budaya anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Putrajaya pagi tadi. - Getaran, 23 Jun 2022

Gambar : Mubarak Majid