web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Tradisi Ramadan Di Jordan Tampilkan Adat Turun Temurun

Ramadan Al Mubarak yang disambut di Jordan pada Ahad dirai oleh warganya dengan penuh kegembiraan dan keriangan.

Budaya Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Apr 2022 9:02AM

Penduduk Amman, Jordan sibuk membeli tanglung tradisional 'fanous' sempena Ramadan. Gambar: Khalil Mazraawi, AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ramadan Al Mubarak yang disambut di Jordan pada Ahad dirai oleh warganya dengan penuh kegembiraan dan keriangan.

Rumah, lorong, jalan raya dan masjid tidak kira di bandar atau kampung dihiasi ‘Fanous’ Ramadan atau tanglung tradisi dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz.

Institut dan pertubuhan kebajikan turut berlumba-lumba mendirikan khemah Ramadan, bagi menyediakan hidangan berbuka kepada golongan memerlukan.

Seorang wanita tempatan Umm Ali Al-Bitawi, yang ditemui Agensi Berita Qatar (QNA) menyifatkan Ramadan sebagai bulan ibadah yang datang bersama ritual, adat dan tradisi warisan nenek moyang.

Suasana malam pertama Ramadan di sebuah bandar di ibu kota Amman, Jordan. Gambar: Bernama
Suasana malam pertama Ramadan di sebuah bandar di ibu kota Amman, Jordan. Gambar: Bernama

“Sama ada (warisan itu) berupa sosial, keagamaan ataupun juadah-juadah istimewa yang menghiasi meja berbuka (puasa)”, katanya.

“Paling dinanti adalah amalan ‘Musakabah’. Walaupun masih diamal hingga kini, ia tidak semeriah dulu”, ujarnya.

Tradisi ‘Musakabah’ atau secara literalnya ‘saling menuang’ ibarat amalan saling menuangkan air atau menghidangkan juadah yang dikongsi sesama jiran pada bulan Ramadan. 

“Semua gara-gara ‘bufet’ terbuka”, selorohnya sambil menambah itu tidak menjadi masalah kerana tujuan penyediaannya sama, iaitu meningkatkan keakraban, kasih sayang dan perpaduan. 

Mengimbau kenangannya, Umm Ali menjelaskan dahulu sementara para suami dan lelaki menuju masjid untuk berterawih, golongan wanita biasanya akan bertandang ke rumah jiran atau saudara-mara.

“Sekarang seisi keluarga pergi dengan kereta keluar pada malam Ramadan di jalanan dan kafe popular, atau hanya duduk di rumah menghadap skrin televisyen”, katanya. Tambahnya, hidangan berbuka dan sahur juga turut berubah mengikut gaya hidup terkini. 

Jika dulu beberapa biji kurma, tomato, sup ‘Rashoof’ atau kuah kacang dhal, selain ‘Lazakiyat’ dan ‘Al-Mutabaq’ (kedua-duanya sejenis roti atau pastri Arab) sudah cukup melengkapi hidangan berbuka.

“Mudah dan murah,” kata Umm Ali.

Pembuat 'qatayef' di Amman, Jordan.  Gambar: Leila Gorchev, AFP
Pembuat 'qatayef' di Amman, Jordan. Gambar: Leila Gorchev, AFP

Kini menurutnya, meja Ramadan dipenuhi pelbagai jenis dan bentuk juadah. Kurma dan air biasanya dijamah sebelum memulakan solat Maghrib.

Usai bersolat, ‘acara’ makan dimulakan dengan sup yang biasanya terdiri daripada sayur-sayuran segar dan ‘Shu-‘airia’ (seakan bihun), serta variasi salad.

Hidangan utama selalunya berupa nasi berlauk daging atau ayam selain beberapa pembuka selera lain seperti ‘Fatteh Hummus’ dengan daging cincang dan acar, diikuti ‘Musakhan’ iaitu roti pipih yang dihidang bersama bawang karamel dan ayam goreng sumac.

Menyentuh hidangan berbuka warga ibu kota Amman pula, Ummu Ali menjelaskan bahawa warga Jordan sentiasa memelihara kepelbagaian jenis juadah tradisi mereka.

“Di setiap rumah pastinya akan ada satu. Mungkin yang paling menonjol adalah ‘Maqlouba’, ‘Mansaf’, Ayam ‘Musakhan’, ‘Maftoul’, ‘Mahashi’, dan banyak lagi hidangan tradisional”, katanya.

Beliau menegaskan bahawa amalan ‘Al-Masharati’ masih merupakan budaya paling menonjol pada bulan Ramadan di Jordan.

‘Al-Masharati’ merupakan amalan tradisi yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang dilantik oleh ketua kejiranan atau imam masjid untuk mengejutkan orang ramai bangun bersahur, dengan menggunakan alat bunyian berupa gendang lama.

Setiap malam mereka menyusuri lorong dan laluan taman perumahan, sambil mengetuk gendang dan selalunya akan disertai beberapa kanak-kanak yang melaungkan: ‘La ila ha iIlallah… Bangunlah, wahai yang tidur’.

Gambar: Khalil Mazraawi, AFP
Gambar: Khalil Mazraawi, AFP

Pada hari-hari terakhir Ramadan, ‘Al-Masharati’ biasa akan mengulangi beberapa lafaz perpisahan kepada bulan suci ini.

Sementara itu, Ziyad Al-Nashef (penduduk kota Amman) memberitahu QNA bahawa beliau dan keluarga biasanya menghiasi rumah mereka seminggu sebelum kedatangan Ramadan.

“Ia telah menjadi keriangan bermusim, terutama untuk kanak-kanak”, ujarnya.

Ibarat upah kerana berjaya menjalani ibadah puasa, kanak-kanak diberi wang saku untuk membeli ‘Fanous’ dan lampu kelap kelip pelbagai bentuk untuk digantung menghiasi lorong kejiranan dan bangunan kediaman.

Warna-warni biasan lampu ‘Fanous’ sangat menarik dan indah, terutama pada waktu malam. 

Bagi Ahmed Al-Waqfi, beliau memuji penyediaan khemah Ramadan yang menjadi tumpuan ramai selepas solat Terawih. 

“Di situ ada kurma, kopi Arab dan jus Ramadan, ada ‘Qatayef’ dan ‘Awamah’ juga”, katanya.

Khemah Ramadan juga digunakan untuk penyediaan acara ‘iftar jamaie’ (berbuka beramai-ramai) yang menghidangkan pelbagai juadah tajaan para dermawan untuk gelandangan, fakir miskin, balu dan anak-anak yatim.

Terdahulu, Kerajaan Jordan mengumumkan pelancaran kempen ‘Ramadaniyat’, menerusi penganjuran acara sukan, kebudayaan, pelancongan dan sosial semasa bulan suci Ramadan.

Kempen yang bertujuan menghidupkan semula tradisi Ramadan itu diadakan dengan kerjasama beberapa kementerian antaranya Kementerian Pelancongan dan Warisan, Kementerian Belia dan Kementerian Pembangunan Masyarakat.

Ia juga sebagai usaha untuk menonjolkan produk kebudayaan Jordan, selain menjadikan warisan itu kekal tersedia untuk generasi baharu. - Bernama

Isu Pada

Zee Avi Masih OK!

09 Apr 2022

Berita Berkaitan

1

Rencana 3 bulan yang lalu

Ramadan: Waktu Menyemai Disiplin Jiwa, Pembebasan Hati

2

Semasa 4 bulan yang lalu

Rakyat Manfaat SARA Untuk Persiapan Tahun Baharu Cina, Ramadan

3

Refleksi 2 tahun yang lalu

Bina Iman Untuk Ramadan, Lupakan Sementara Bina Otot - Murad

4

Kisah Kita 2 tahun yang lalu

Sukar Diperoleh, Namun Suami Isteri Pastikan Bekalan Buah Kabung Tersedia Setiap Ramadan

Sorotan

1

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

2

Pemandu 4WD Positif Dadah Ditahan, Dikesan Pandu Secara Mengundur Di Lebuh Raya

3

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

4

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

5

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

6

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

Disyorkan untuk anda

Muzik 1 hari yang lalu

Dewa 19 Buktikan Keunggulan Katalog Lagu Dalam Konsert Cintaku Tertinggal Di Malaysia

oleh Rahayu MN