Berita Terkini

1 jam yang lalu: Kabinet dibentuk segera selepas ambil pandangan semua parti kerajaan - PM 1 jam yang lalu: GRS-DAP bincang komitmen kerjasama dalam kerajaan perpaduan 1 jam yang lalu: Zii Jia, Aaron-Wooi Yik antara tercalon bagi Anugerah BWF 2022 1 jam yang lalu: JPS keluar notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di enam negeri 1 jam yang lalu: MS puas hati prestasi skuad terjun negara di GP Malaysia

IKUTI KAMI


Kisah Si Tanggang Ke Pentas Teater Boneka

Teater yang dipersembahkan dalam empat bahasa ini turut menampilkan gabungan produksi kumpulan indie 'Fazz' dan artis multimedia, Abdul Shakir Abu Samah. 

Budaya Dikemaskini 7 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 07 Apr 2022 9:30AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Geylang si paku geylang, Geylang si rama-rama, pulang marilah pulang, marilah pulang bersama-sama; pulang marilah pulang, marilah pulang bersama-sama."

Kelunakan suara Lynn Tan, 34, penyanyi kumpulan muzik Indie- Fazz, ketika menyampaikan lagu 'Geylang Si Paku Geylang', jelas menambat hati kira-kira 120 orang penonton yang berada di dalam Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC).

Gema irama tradisional yang diiringi alat muzik gamelan, serunai dan paluan gong itu, pastinya mencetuskan banyak kenangan silam dalam kalangan penonton dewasa terutamanya yang biasa menyanyikan lagu berkenaan semasa zaman kanak-kanak mereka.  

Sedang penonton leka menikmati nyanyian Tan, muncul tiga lembaga hitam dengan membawa dua buah boneka sebesar lengan ke pentas - satu menyerupai wanita tua yang berkemban dengan kain hijau manakala satu lagi menyerupai lelaki muda. 

Boneka wanita tua itu seolah-olah berjalan di atas batu buatan berwarna putih, dengan tangannya yang disokong lidi besi di belakangnya, melambai-lambai ke arah boneka lelaki muda, diikuti dengan bunyi deru ombak.

Ketika ini, tumpuan penonton bukan lagi kepada lembaga hitam ataupun kumpulan muzik itu, sebaliknya boneka wanita tua dan lelaki muda yang memaparkan watak ibu dan anak bernama 'Tanggang' dalam teater  bertajuk 'Ibu' oleh Kumpulan 'Iron Gang Puppet Theatre'. 

Diilhamkan daripada kisah dongeng rakyat terkenal di Asia Tenggara - 'Si Tanggang', persembahan teater berdurasi 90 minit yang diadakan pada petang 27 Mac lepas, berkisar kepada kisah sumpahan seorang ibu terhadap anaknya yang derhaka dan seterusnya menjadi batu.

Mengikut jalan ceritanya, Si Tanggang pergi belayar meninggalkan ibunya serta kampung halaman untuk mencari kehidupan baharu bagi mengubah kehidupan daifnya. Setelah berkahwin dengan seorang puteri Korea Selatan, beliau pulang ke kampungnya tetapi malu untuk mengaku wanita tua yang datang berjumpanya adalah ibu kandungnya sendiri. Akhirnya si Tanggang disumpah oleh ibunya menjadi batu. 

Teater yang dipersembahkan dalam empat bahasa- Bahasa Melayu, Inggeris, Dialek Teochew dan Korea Selatan ini menampilkan gabungan produksi dengan kumpulan indie 'Fazz'  dan artis multimedia, Abdul Shakir Abu Samah. 

Percubaan Pertama Langkaui Tradisi

Bagi pengasas 'Iron Gang Puppet Theatre', Goh Hooi Ling (she), 41, projek 'Ibu' merupakan percubaan sulungnya dalam menggabungkan elemen tradisional dan moden dalam persembahan teater boneka kepada penonton. 

Beliau yang juga seorang penyanyi opera kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu mengakui, 'Ibu' merupakan 'pelaburan' terbesar buat dirinya setelah 33 tahun berkecimpung dalam opera boneka Teochew yang hanya bertumpu kepada cerita dongeng dan maharaja dari China. 

"Saya mula berkecimpung dalam teater boneka Cina ketika berusia tujuh tahun. Kebiasaannya kami menjelajah ke serata tempat untuk mengadakan persembahan teater boneka Cina sama ada ketika upacara sembahyang di tokong, perayaan hantu lapar ataupun atas jemputan daripada persatuan-persatuan ritual Taoism. 

"Sebagai satu-satunya keluarga yang masih lagi aktif dalam seni opera dan boneka Cina Teochew di Pulau Pinang, saya mahu meneruskan legasi dalam memartabatkan warisan bangsa kami, seterusnya memperkenalkan tradisi turun-temurun ini kepada generasi muda, ” katanya kepada Bernama.

Menurut Goh lagi, dalam usaha mengembalikan nostalgia zaman nenek moyang kepada masyarakat zaman moden, pihaknya melakukan pengubahsuaian dalam persembahan bagi memberikan nafas baharu terhadap teater boneka Cina yang dimainkan dengan menggunakan lidi besi tanpa mengabaikan tradisi asalnya.

"Kami tidak mahu tradisi ini terkubur begitu sahaja akibat peredaran zaman. Kami sentiasa melakukan inovasi menerusi kreativiti untuk menarik minat golongan muda untuk menghayati warisan sepanjang zaman ini," tambahnya.

Menyifatkan teater boneka Teochew itu sebagai 'akar' buat dirinya, Goh yang merupakan generasi keempat mewarisi seni turun-temurun itu mengakui percubaannya untuk membawa elemen identiti Malaysia dalam persembahannya berhasil apabila mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan. 

Beliau menambah, pihaknya mendapat sokongan daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA ) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, selain badan bukan kerajaan (NGO) dan individu penggiat seni. 

"Kami mengambil masa dua tahun setengah iaitu sebelum pandemik COVID-19 untuk membuat persediaan dari segi penyelidikan, reka bentuk, pengolahan skrip dan pembuatan boneka bagi menghasilkan persembahan terbaik kepada penonton," katanya.

Cerita Rakyat Identiti Malaysia

Bagi Goh, kebanyakan persembahan teater boneka Teochew yang dipentaskan ketika sambutan tertentu di tokong Cina adalah berdasarkan skrip dan cerita yang berasal dari China yang merupakan warisan nenek moyang mereka. 

"Kebiasaannya, bentuk persembahan kami adalah lebih kurang sama dengan wayang kulit, bezanya teater wayang kulit menggunakan bayang-bayang di sebalik kain putih dan dua batang lidi besi dikawal dari bawah, manakala patung boneka kami dikawal dari bahagian belakang dengan tiga batang lidi besi. 

"Para penonton tidak akan melihat siapa yang mengawal atau memainkan patung boneka ketika persembahan teater namun buat pertama kalinya, kami memecahkan tradisi dengan menampilkan pemain bonekanya di atas pentas," katanya. 

Sebagai anak Malaysia, Goh yang juga pengarah 'Penang Teochew Puppet and Opera House, mahu membawa elemen identiti Malaysia dengan tidak hanya tertumpu kepada warisan bangsa Cina Teochew sahaja dalam persembahannya. 

"Kami selalu membuat persembahan berupa maharaja dan kisah nenek moyang dari negara China, namun saya selalu berfikir, bagaimana pula kisah kami di sini? Bagaimana cara menonjolkan identiti kita sebagai bangsa Malaysia menerusi teater boneka lidi besi ini? 

"Setelah 'brainstorming' dengan ahli kumpulan, kami memutuskan untuk membawa cerita rakyat tempatan yang sudah sebati dengan jiwa masyarakat Malaysia, yang mencerminkan sejarah, adat resam, nilai dan kebijaksanaan setiap wilayah, masyarakat dan negara. 

"Kami cuba menerokai dan mencungkil makna di sebalik kisah, budaya serta menyusun semula hubungan antara kisah itu dan teater boneka kami, dan memberikannya perspektif dan kehidupan kontemporari.

"Oleh itu, kami memilih Si Tanggang, sebuah cerita rakyat Asia Tenggara yang terkenal yang mempromosikan teras budaya Timur, iaitu hubungan keluarga dan ketaatan anak, sebagai sumber bahan untuk usaha kreatif ini," katanya.    

Walaupun kisah rakyat klasik ini adalah untuk mendidik kanak-kanak suatu masa dahulu, namun pihaknya mengadaptasikannya kepada persembahan teater boneka yang turut mengajak penonton menghayati mesej di sebaliknya.

"Ia menonjolkan kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan kesudahannya akibat kederhakaan, yang mana kebanyakan kisah dongeng dan cerita rakyat zaman kanak-kanak turut mengutarakan mesej yang sama kepada generasi muda," katanya.

Teraju Teater Boneka

Sementara itu, Pengarah teater boneka 'Ibu', Ling Tang (she) berkata, buat pertama kali beliau diberi kepercayaan untuk menerajui dan mengarah pementasan teater boneka hasil gabungan antara kumpulan tradisional dan moden. 

"Selama ini, saya banyak terlibat dalam pementasan teater muzikal dan produksi drama, namun buat pertama kalinya saya mengarahkan teater yang melibatkan pemain boneka yang menekankan elemen tradisional selain gabungan muzik moden. 

"Dari segi band muzik, latar suara serta latar pentas 'backdrop', saya tidak menghadapi banyak masalah, cuma cabarannya adalah kami sentiasa 'brainstorm' untuk memberi pembaharuan dalam pementasan ini dan pada masa yang sama, warisan turun-temurun yang mahu dikekalkan itu tidak diusik ataupun diubahsuai. 

"Kebanyakan daripada kami di sini tidak pernah terdedah dengan elemen tradisional seperti opera Cina, teater boneka dan permainan alat-alat muzik tradisional.

"Namun kami bersyukur kerana kami mempelajari banyak perkara baharu daripada kumpulan 'Iron Gang Puppet Theatre', lebih-lebih lagi Goh yang sudi bimbing kami secara berperingkat," katanya yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam sinematografi.  

Menurut Tang, kumpulan produksi itu bertuah kerana pembuatan boneka wanita tua (watak ibu) mendapat hasil sentuhan daripada pembuat boneka (puppet maker) terkenal di Taiwan, Liang Mong-Han (she). 

Boneka 'Ibu' itu diterbangkan khas dari Taiwan oleh 'sifu' puppet manakala boneka 'Tanggang' pula dihasilkan sendiri oleh kumpulan Iron Gang dengan menggunakan kayu dan tanah liat. 

"Kedua-dua boneka itu berukuran 40 hingga 50 sentimeter tinggi dan beratnya kira-kira satu kilogram dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan," katanya, menambah kedua-dua boneka itu akan dipamerkan di dewan pamiran Penang Teochew Puppet and Opera House.

Gabungan Keluarga Malaysia

Sementara itu, pengarah muzik dan jurucakap kumpulan muzik Indie Fazz, Raja Farouk Raja Zaini Ismail, 35, berkata pihaknya diberi kepercayaan menyampaikan lagu hasil ciptaan kumpulan mereka dalam persembahan teater boneka 'Ibu'. 

"Kami sangat berbangga untuk bekerjasama dengan kumpulan Iron Gang dan pada masa yang sama berasa agak cemas kerana kumpulan opera cina kebiasaanya mengamalkan disiplin yang sangat tinggi dalam menjalani latihan harian. 

"Namun, sangkaan kami salah apabila kami sangat selesa bekerjasama dengan Goh dan ahli kumpulannya serta turut diberi kepercayaan menggubah lagu untuk persembahan ini. 

"Kami juga buat pertama kalinya bermain alat muzik tradisional seperti gamelan dan gong dalam persembahan itu, yang merupakan pengalaman pertama kami.

"Bukan sahaja rasa seronok kerana banyak menimba pengalaman baharu dalam produksi pembikinan pementasan ini, tetapi juga sebagai sebuah keluarga Malaysia,  kami belajar budaya serta adat resam antara satu sama lain, saling bertoleransi dan hormat-menghormati," katanya. - Bernama 

Gambar: Bernama, Iron Gang Puppet Theatre 

Berita Berkaitan

1

Budaya 2 minggu yang lalu

Pementasan Teater IQ.ROCK Kupas Isu Pendidikan Kawasan Pendalaman

2

Budaya 1 bulan yang lalu

“Saya Tak Peduli Orang Kata Pementasan Anak-Beranak” - Farah Berlakon Teater Arahan Fauziah Nawi Dengan Anaknya

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Ibu Kepada Dr Wan Azizah Meninggal Dunia

4

Semasa 2 bulan yang lalu

Isu Kerakyatan Anak Lahir Luar Negara: Kami Sedia Jumpa Agong – Azalina

Sorotan

1

Piala Malaysia: Stadium Nasional Bertukar Lautan Merah-Biru, Merah-Kuning

2

Warkah Sebak Muhyiddin, ‘Saya Insan Biasa, Punya Rasa Kecewa Tapi Redha’

3

SME Corp Perkasa PKS Menerusi Anugerah E50

Disyorkan untuk anda

Filem & TV 2 jam yang lalu

Filem Remp-It 2  Sangat Sinonim Dengan Kisah Hidup Saya - Farid Kamil Akui Pernah Berlumba Haram 

oleh Rubini Nagarajah

Filem & TV 12 jam yang lalu

Jaclyn Victor Dinobat Sebagai Juara GV9, Ini Penjelasan Juri Tetap

Kemenangan Jaclyn Victor sudah diduga ramai sejak namanya diumumkan sebagai salah seorang peserta GV9.

oleh Helmi Anuar

Filem & TV 1 hari yang lalu

Ada Pelakon Muka Tak Sekacak Mana, Tapi Punya Daya Penarik - Yusof Haslam

Menurutnya produser dan pengarah legenda itu, pelakon dengan wajah cantik bukanlah jaminan sesuatu filem itu akan pecah panggung.

oleh Wafa Aula

Selebriti 9 jam yang lalu

Kecewa! Bila Ada Cakap Saya Ni ‘Batak’, Gelojoh Tentang Perhubungan Dan Kerja – Ungku Ismail 

oleh Wartawan Hiburan Getaran