Hujan cukup deras pada malam itu. Sewaktu rakan-rakan meja berita bertungkus-lumus dengan hal-hal pilihanraya Sarawak, penulis ‘melarikan diri’ sebentar dari pejabat ke Black Box, Publika untuk persembahan Cahaya 004 Kitab Basah oleh Senilab dan 33.3 bersama Pusaka dan Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja, Batu Pahat.
Rakan-rakan yang pernah menonton persembahan kuda kepang Kumpulan Parit Raja ada berpesan, “Pertunjukan nanti agak boleh buat bulu roma berdiri tegak.
“Ini bukan persembahan kuda kepang biasa-biasa. Penari-penarinya nanti, antara sedar dan tidak.”

Berbekal pesan itu dan maklumat yang dipajang pada kotak cahaya sebelum pintu masuk ruang, penulis bersedia untuk apa sahaja kemungkinan.
Pabila melangkah masuk ke ruang persembahan, bau kemenyan menerpa ke wajah.
Ya, ini bakal menjadi persembahan yang luar biasa. Lengkap pengalaman untuk hampir semua deria nampaknya.

Di dalam ruang persembahan, ada yang duduk bersila, ada di atas kerusi tetapi ramai yang berdiri.
Sebelum pertunjukan bermula di ruang yang dilimpahi cahaya merah, para penonton sudah diingatkan supaya ‘membuka minda’ kerana ‘banyak perkara boleh berlaku sepanjang persembahan.’

Sepanjang hampir dua jam persembahan, memang penulis terpaku menonton aksi Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja.
Susah untuk melihat mereka membuat persembahan di kota Kuala Lumpur ini. Dan, kali ini menjadi lebih istimewa kerana ia diiringi dengan penataan cahaya oleh Senilab yang menarik serta alunan irama tradisional gamelan yang dimadukan dengan bunyian moden.
Awalnya terlintas sedikit rasa pesimis, adakah perpaduan dua dunia seperti ini akan merosakkan sebuah seni tradisi indah nan halus.
Tetapi selepas seluruh persembahan, penulis rasakan ia seperti satu kesatuan yang mengujakan dan saling melengkapi.

Penggunaan bunyi-bunyian elektronik memberikan sentuhan dramatik dan menambah momentum kepada persembahan kuda kepang yang memukau.
Kelam cerah cahaya seperti membawa para penonton keluar masuk alam nyata dan tidak.
Tiada yang pincang, kerana aura mistik dan halus sisi tradisional itu masih ada.
Semakin lama persembahan, semakin kurang jumlah tangan memegang telefon naik merakam persembahan. Para penonton seperti khusyuk memerhati aksi-aksi para penari di tengah-tengah ruang.

Sehabisnya acara, penulis faham kenapa Cahaya 004 Kitab Basah perlu dinikmati dengan minda terbuka. Rupanya ada banyak elemen yang pada zahirnya bercanggah tetapi jika diteliti, boleh menjadi ‘pelengkap’ satu sama lain.
Contohnya, ada yang mengatakan tarian kuda kepang ini bercanggah dengan ajaran Islam tetapi ahli sejarah berpendapat ia antara elemen penting penyebaran Islam di tanah Jawa.

Surat Cinta Kepada Warisan Budaya
Sebenarnya Cahaya 004 Kitab Basah diadakan dalam dua sesi, jam 4.30 petang dan 8.30 malam telah berjaya menarik minat kira-kira 400 orang penonton.
Dengan konsep yang direka khas oleh Senilab dan 33.3 serta kolaborasi bersama Pusaka dan Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja, Batu Pahat, idea tentang Cahaya 004 Kitab Basah dilahirkan untuk mempersembahkan medium bukan tradisional secara kreatif terutamanya dalam seni persembahan dan meneroka ruang di mana kesenian moden dan tradisional dapat wujud dengan selari.

Taufiq Kamal dan Zulamran Hilmi, masing-masing dari agensi Senilab dan 33.3 yang juga bertanggungjawab membawakan Cahaya 004 Kitab Basah menyatakan, “Kami amat bersyukur dengan komen-komen positif yang diterima tentang persembahan ini yang datang daripada komuniti seni dan pihak umum.

“Sesungguhnya ia merupakan surat cinta kami kepada semua peminat seni terutamanya warisan budaya negara, setelah lebih kurang dua tahun berehat akibat pandemik yang melanda.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami hulurkan buat Pusaka dan juga Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja. Kejayaan ini juga merupakan faktor penggalak untuk kami agar terus berkarya dan menganjurkan lebih banyak lagi acara-acara sebegini.”
Wak Din, ‘Bapak’ kepada Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja berkata, “Bagi pihak kumpulan ini, saya begitu terharu kerana dapat membuat persembahan di hadapan para penonton yang amat menghargai serta menghormati budaya negara.

“Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja terdiri daripada ahli-ahli veteran dan juga penari-penari serta pengamal kuda kepang yang masih muda. Yang datang ke Kuala Lumpur untuk persembahan istimewa ini ada 20 orang ahli kesemuanya.
“Saya sendiri telah berkecimpung di dalam seni ini sejak 1969. Selama 52 tahun saya terlibat dengan kuda kepang, inilah pertama kali naskhah kuda kepang diolah sebegini dan ianya amat berbeza.
“Namun pada kami, ini perlu dilakukan kerana kita perlu bergerak dengan masa dan mungkin dengan cara ini, kuda kepang akan lebih dikenali oleh generasi muda.
“Saya amat berbangga kerana pihak penganjur tidak langsung mengubah intipati seni yang amat berkait rapat dengan tarian kuda kepang.
“Harapan saya agar rakyat negara ini akan terus menyokong warisan budaya kita terutamanya seni yang semakin dilupakan.”

Pulang ke rumah selepas persembahan, dengan aroma kemenyan masih kental menempel di baju, penulis yakin bukan penulis sahaja merasakan pengalaman Cahaya 004 Kitab Basah pasti akan dikenang.
Buat mereka yang terlepas persembahan ini, anda masih boleh melawat pameran cahaya dan instalasi seni masih lagi berlangsung di G3, West Entrance Black Bridge, Publika sehingga 30 Disember 2021.
Acara ini disokong oleh MyCreative Ventures, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kewangan di bawah Penjana dalam usaha untuk menyemarakkan semula ekonomi kreatif Malaysia.
Untuk berita terkini, sila layari www.projectcahaya.com atau ikuti ProjectCahaya di Instagram dan Facebook. - Getaran, 30 Disember 2021
Gambar: Wong Horngyih dan Pusaka